Buletin

TEMPAHAN MG S5 EV CKD DIBUKA – ANGGARAN HARGA RM120K

SAIC Motor Malaysia mencatat satu lagi detik penting dalam operasinya di negara ini apabila unit pertama MG S5 EV yang dipasang secara tempatan (CKD) telah dikeluarkan dari barisan pengeluaran di fasiliti PEPS-JV di Melaka.

Pengeluaran tempatan ini turut melibatkan kerjasama antara SAIC Motor Malaysia dan EP Manufacturing Berhad, yang dijangka menyokong pembangunan vendor tempatan melalui usaha lokalisasi komponen serta pengukuhan rantaian bekalan automotif negara.

Fasiliti pemasangan di Pegoh, Melaka mempunyai keupayaan untuk menghasilkan pelbagai jenis kenderaan termasuk EV bateri (BEV), hibrid (HEV) serta model enjin pembakaran dalaman (ICE), sekali gus menyokong strategi pengembangan serantau MG.

Bagi model MG S5 EV, kapasiti pengeluaran dijangka berada antara 120 hingga 180 unit sebulan, dengan sasaran pengeluaran tahunan sekitar 1,500 hingga 2,000 unit menjelang tahun 2026.

SUV elektrik berkenaan dibangunkan menggunakan platform EV khusus pacuan roda belakang milik MG, yang direka untuk memberikan pengalaman pemanduan lebih dinamik sambil mengekalkan kepraktisan penggunaan harian.

Menariknya, model CKD yang dipasang di Melaka hadir dengan peningkatan prestasi berbanding versi import sepenuhnya (CBU).

Kuasa maksimum kini ditingkatkan kepada 151kW berbanding 125kW sebelum ini, manakala tork mencapai 350Nm, sekali gus menawarkan pecutan yang lebih responsif serta pengendalian lebih mantap.

Dari segi pengecasan, MG S5 EV menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150kW. Dalam keadaan optimum, baterinya boleh dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam tempoh sekitar 26 minit sahaja.

Model ini turut menggunakan susun atur bateri ultra nipis yang dipasang secara mendatar di lantai kenderaan. Reka bentuk tersebut bukan sahaja membantu merendahkan pusat graviti untuk kestabilan lebih baik, malah memberi ruang kabin yang lebih luas kepada penumpang.

Bagi varian LUX, tahap keselesaan dipertingkatkan dengan pelbagai kemasan premium termasuk;

  • Tempat duduk balutan kulit tiruan sepenuhnya
  • Kerusi hadapan dengan fungsi pengudaraan
  • Tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa.

Selain itu, ia juga dilengkapi pintu but belakang berkuasa dengan fungsi bebas tangan bagi memudahkan akses.

Dengan jarak pemanduan sehingga 446 kilometer mengikut standard WLTP, SUV elektrik ini sesuai digunakan untuk perjalanan harian mahupun perjalanan jarak jauh.

Dari sudut keselamatan, kenderaan ini dilengkapi tujuh beg udara bersama sistem bantuan pemandu termaju ADAS 2.5 yang merangkumi ciri seperti Traffic Jam Assist dan Intelligent Cruise Control. Model ini turut menerima penarafan lima bintang daripada Euro NCAP dan ASEAN NCAP.

Tempahan bagi model ini dibuka bermula 10 Mac 2026 dengan anggaran harga jualan runcit sekitar RM120,000.

Harga rasmi bagaimanapun akan diumumkan semasa pelancaran rasmi dalam masa beberapa minggu akan datang.

Sempena permulaan pengeluaran tempatan, MG Motor Malaysia turut menawarkan promosi “Early Bird” bernilai keseluruhan RM10,000.

Pakej ini merangkumi rebat tunai RM7,000, pengecas wallbox 7kW bernilai RM2,000 serta kredit pengecasan RM1,000 untuk pelanggan terawal.

Bagi memberi ketenangan kepada pemilik, MG menyediakan jaminan pek bateri selama lapan tahun atau 180,000km, manakala unit kawalan motor dilindungi jaminan lapan tahun atau 160,000km.

Google ads
Back to top button