Pandu Uji

BYD SEAL PREMIUM, PENCABAR TESLA MODEL 3?

BYD Seal Premium adalah antara kereta elektrik yang berjaya mencuri hati penulis ketika lawatan ke kilang BYD, Shenzen pada tahun 2023 yang lepas. Dengan rekaan yang moden, ruang dalaman yang kemas serta bergaya, ia adalah sebuah kereta elektrik yang hampir lengkap dalam segala aspek. Sekali tengok anda boleh terus terpesona dengan rekaan luar yang dihasilkan

Tapi ia tidak menghairankan kerana BYD Seal merupakan hasil tangan dari Wolfgang Egger, yang pernah bekerja dan menghasilkan banyak rekaan ikonik ketika bekerja untuk Audi, Alfa Romeo dan juga Lamborghini. Jadi anda akan melihat citarasa rekaan Eropah ditanam dalam rekaan BYD Seal ini. Malah rekaan ini juga ditemani dengan pekali geseran yang rendah iaitu 0.219 sahaja.

Pekali geseran ini mengurangkan penggunaan tenaga elektrik sewaktu dipandu laju dan pada masa yang sama memberikan jarak perjalanan yang lebih baik. Masakan tidak, BYD Seal ini perlu bersaing dengan 2 jenama besat yang lain seperti Tesla Model 3 dan juga BMW i4 yang datang dengan rekaan yang boleh tahan lawa

Tapi BYD Seal nampak lebih yakin bergaya dengan rekaan Double U Floating di bahagian depan, diikuti dengan lampu DRL Ripple Lamp di bahagian bampar serta lampu belakang LED menjadikannya nampak lebih berseni. Tidak terlalu kosong jika dibandingkan dengan Tesla Model 3

Rekaan “shoulder line” di bahagian sisi pula dihasilkan dalam penegasan 2 garisan atas serta bawah, serta diikuti dengan kemasan seperti insang di bahagian sisi fender. Mungkin BMW i4 nampak lebih gah secara keseluruhan, tapi kemasan dan penggayaan BYD Seal pun tidak kalah

Dengan rekaan luar seakan fastback, BYD Seal menawarkan ruang kargo yang memuaskan dengan 400 liter di bahgaian belakang dan 50 liter di bahagian depan di samping mengekalkan rekaan estetik luaran. Dari segi saiz, jarak antara roda ditetapkan pada 2920mm. Jarak ini jauh lebih panjang daripada Toyota Innova generasi sebelum ini.

Ruang pemandu pula diberi kawalan tombol gear yang dihasilkan daripada kristal, butang penyaman udara, kedudukan tombol signal di sebelah kanan, tombol pengelap cermin di sisi, kawalan penyaman udara di stering (dengan ciri pelbagai fungsi) dan rekaan papan pemuka yang berseni menjadikan anda senang hati untuk berada di kerusi pemandu.

Hanya ciri kipas pengudaraan sahaja yang perlu dicari di dalam skrin dan menjadi punca bebelan penulis. Namun dalam aspek lain seperti pencahayaan kabin pada waktu malam, sistem Head Up Display, skrin multimedia 15.6 inci lengkap dengan sambungan Apple Car Play dan Android Auto, kunci NFC dan sistem pembesar suara Dynaudio memberikan nilai duit yang anda bayar, rasa berbaloi sangat

Bagi ciri panaromic roof, BYD Seal disertakan dengan tirai tetapi perlu dipasang secara manual. Kalau disertakan dengan ciri automatik, maka ia adalah pilihan yang lebih baik. Selain ciri pengudaraan, kusyen depan menawarkan sokongan yang bagus untuk pemanduan jarak jauh manakala ruang di belakang cukup luas dan selesa

BYD Seal juga diberikan platform baru, disokong dengan platform 800 volt berbanding dengan Tesla Model 3 yang hanya menggunakan 400 Volt sahaja. Bateri pula dijadikan sebagai sebahagian daripada cesim ditanam dalam cesi dan memberikan kekuatan tambahan. Keadaan ini menyumbang kepada nilai ketegaran 40,600/darjah bagi tosional rigidity

Namun penulis hairan kenapa BYD Seal hanya diberikan sistem pengecas AC 7kW sahaja, menyebabkan anda perlu mengecas selama 15 jam dari 0-100%. Namun bagi sistem pengecasan DC, ia berupaya menerima sehingga 150kW dengan hanya memerlukan masa 37 minit sahaja untuk memenuhkan bateri dari 10% ke 80%.

Berdasarkan pengalaman penulis, ia hanya mengambil masa 16 minit sahaja untuk mengecaj dari 55% ke 82%. Sekadar penulis sempat ke tandas dan membeli kopi sahaja. Sistem On Board Charger ini juga turut menyokong ciri Vehicle 2 Load (3.7kW) bagi menjadikan kereta sebagai “power bank” bergerak

Bagi satu pengecasan penuh, BYD Seal Premium boleh dipandu sejauh 570km jika anda memandu dengan “berhemah”. Walaupun hanya diberikan satu motor elektrik pada roda belakang, BYD Seal mampu menawarkan sehingga 308 kuasa kuda dan 360Nm tork.

Pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa 5.9 saat, sudah cukup mengujakan dan membuatkan bateri anda habis dengan cepat walaupun kelajuan maksimum dihadkan kepada 180km/jam. Anda boleh mencilok kenderaan perlahan dengan cepat dan tangkas dengan tork yang disediakan.

Terdapat 3 mode yang disediakan sama ada Eco, Sport dan Normal. Tapi sayangnya tiada ciri Single Pedal Driving dan juga Paddle Shift untuk mengawal kekuatan brek regeneratif. Jika ada, ia adalah satu ciri moden yang palking digemari oleh penulis

Sebaik sahaja anda mula memandu BYD Seal, perkara pertama yang anda rasai ialah bagaimana BYD cuba menjadikan Seal ini sebagai kereta dengan citarasa Continental dengan stering yang tebal dan sedap digenggam. Komunikasi antara pemandu dan cesi juga berlaku dalam suasana harmoni dan dua hala.

Roda depan menerima ciri double wishbone manakala roda belakang diberikan ciri Multi-Link menjadikan pengalaman pemanduan hampir menyamai Tesla Model 3, kecuali BYD Seal lebih berat dengan berat maksimum mencapai 2055kg. Apabila dipadankan dengan penyerap hentak konvensional, penulis rasakan parameter operasinya tidak cukup baik

Kadangkala BYD Seal akan terasa seperti terumbang ambing dari depan ke belakang setiap kali melalui jalan kampung tidak rata pada halaju tinggi. Namun dengan gandingan rekaan suspensi dan stering, ia memberikan pengalaman yang menarik ketika mendaki dan menuruni Genting Highland. Dah rasa macam naik go kart.

Halakan stering pada apeks selekoh, tekan pedal dengan cermat, brek, betulkan stering dan tekan semula pedal minyak. Oh ya anda akan tersenyum ketika memandu BYD Seal secara agesif kerana anda tahu ia akan mendengar kata.

Bagi ujian keselamatan, BYD Seal menerima pengiktirafan 5 bintang dari Euro NCAP dengan ujian terbaru dibuat pada tahun 2023 dengan markah pematuhan 89%. Paling menarik BYD Seal datang dengan 9 beg udara, 3 poin ISOFIX, ciri ADAS lengkap dengan keupayaan membaca papan tanda amaran dan juga brek kecemasan automatik bagi Lane Keep Assist

BYD Seal juga cemerlang dalam menawarkan jaminan selama 6 tahun atau 150,000km untuk keseluruhan kualiti kenderaan, 8 tahun atau 160,000km untuk bateri dan 150,000km atau 8 tahun bagi trenkuasa motor elektrik.

Anda boleh semak, pesaing BYD Seal yang lain hanya menawarkan 2 tahun jaminan untuk keseleruhan kenderaan atau jika anda berkeras mahukan selama 5 atau 7 tahun, maka anda perlu bayar lebih

Cuma anda kena terima hakikat ia bukanlah kereta elektrik yang sempurna. Pertama penulis rasakan bateri LFP yang digunakan adalah berat, menjejaskan kualiti pemanduan dan keselesaan. Kedua ia tiada ciri paddle shifter bagi mengawal brek regeneratif. Akhir sekali pengecas AC terlalu kecil bagi bateri yang besar iaitu 82kWh

Selain dari isu di atas, BYD Seal Premium adalah sebuah kereta elektrik yang cemerlang, ditawarkan dalam pakej yang menarik dan jaminan kualiti dari BYD.

Google ads
Back to top button