Buletin

BYD YANGWANG LANCAR MODEL U8 DI CHINA – 4 MOTOR ELEKTRIK, BOLEH TERAPUNG, BERMULA RM638K

Jenama terbaharu di bawah BYD, Yangwang telah melancarkan model pertamanya Yangwang U8, di China. SUV off-road elektrik sepenuhnya itu menggabungkan rupa lasak dengan susun atur empat unit motor dan pelbagai teknologi canggih.

Direka oleh Wolfgang Joseph Eiger, Yangwang U8 menggunakan konsep reka bentuk “Gate of Time and Space” yang menggabungkan elemen futuristik.

SUV itu dipadankan dengan lampu depan berbentuk L dan sangat signifikan apabila dinyalakan. Gril pula mendapat kemasan titik matriks di dalam gril, manakala bahagian tengahnya bertatahkan logo jenama.

Secara keseluruhan, SUV ini mempunyai dimensi sepanjang 5,300mm dengan jarak roda 3,050mm. Ia juga dilengkapi hendal pintu tersembunyi, reka bentuk aerodinamik pada arca roda dan tiang-D. Jentera tersebut dipasangkan dengan rim 20 inci dengan tayar bersaiz 275/60 ​​R20.

Di bahagian belakang, bentuk lampunya adalah serupa dengan lampu utama. Sementara pintu belakang dibuka dari arah sisi dan dilengkapi tayar gantian.

Tiada pendedahan dibuat mengenai ruang kabin U8, selain instrumen digital dan skrin sentuh infotainmen yang besar ketika sesi ujian dijalankan di China.

Dari segi kuasa, platform teknologi Yisifang serba baharu akan menggunakan empat motor pada setiap roda. Kuasa maksimum satu unit motor berkenaan ialah 295-321hp dan tork maksimum 320-420Nm.

Output kuasa gabungan itu membolehkan SUV besar dan berat itu memecut dari 0-100 km/j dalam masa cuma tiga saat. Ia juga menawarkan fungsi pemvektoran tork termaju kepada sistem pacuan empat roda yang dikawal secara elektronik. Kelebihan lain adalah ia dikatakan 100 kali lebih pantas berbanding sistem konvensional.

Yangwang menyatakan U8 mampu melakukan pusingan 360 darjah dan mempunyai crab mode, mod terapung di atas permukaan air yang dimungkinkan oleh badan kalis air serta tertutup, selain terdapat mod pemanduan khusus off-road.

Syarikat itu juga mengatakan bahawa SUV itu mempunyai keupayaan memandu pada kelajuan 120km/j dalam keadaan tayar pancit.

Syarikat itu tidak mendedahkan harga untuk U8. Tetapi media China melaporkan harganya mungkin bermula sekitar AS$145,340 (RM638,623).

Google ads
Back to top button