Buletin

JENAMA BARAT DAH KELUAR DARI RUSIA, CHINA AMBIL KESEMPATAN – PEGANG SATU PERTIGA PASARAN

Jenama China menyumbang hampir satu pertiga daripada pasaran kereta Rusia. Data yang dikongsi oleh Reuters menunjukkan kepentingan China semakin meningkat setelah syarikat Barat menarik diri dari pasaran berkenaan.

Sekatan Barat terhadap Rusia telah menyukarkan keadaan selepas berhempas pulas dengan isu kekurangan bekalan alat ganti, selain permintaan merosot menggoyahkan lagi sektor itu. Jualan kereta penumpang baharu dan kenderaan komersial ringan (LVC) juga merosot hampir 61 peratus dari tahun ke tahun.

Tetapi jualan kereta penumpang berjenama China, termasuk Haval, Chery dan Geely melonjak kepada 16,138 unit pada November, hampir dua kali ganda berbanding 8,235 pada Januari. Analisis Rusia Autostat menunjukkan, pasaran mencapai 31.3 peratus berbanding 9.6 peratus sebelum ini.

Menurut Association of European Businesses (AEB), jualan kereta penumpang dan LCV baharu Rusia hanya mencatat 46,403 pada November. Ia jauh lebih rendah berbanding dengan sasaran jualan sekitar 600,000 untuk keseluruhan tahun ini.

Dalam satu kes berprofil tinggi, sebuah kereta China menyamar sebagai kereta Rusia. Bahagian enjin dari JAC China serta reka bentuk, kejuruteraan dan platformnya digunakan untuk menghidupkan semula Moskvich era Soviet, jelas kelihatan pada pelancaran semula jenama itu bulan lepas.

Moskvich berkata ia adalah kerjasama dengan rakan kongsi asing, tetapi tidak mendedahkan nama syarikat tersebut. JAC juga tidak menjawab permintaan untuk memberi sebarang komen.

Jika keadaan ekonomi kekal tidak berubah, pengeluar China, termasuk Moskvich, mampu menyumbang kira-kira 35 peratus daripada jualan di Rusia tahun depan, sekali gus memberi bayangan pasaran akan pulih sekiranya jualan 800,000 unit tercapai.

Sebenarnya, jumlah jualan kenderaan China di Rusia tidak begitu memberangsangkan jika dibandingkan dengan pasaran domestik, di mana jualan domestik pada bulan November adalah kira-kira 35 kali lebih tinggi daripada di Rusia.

Untuk 10 bulan pertama tahun ini, Rusia merupakan destinasi eksport keenam terbesar bagi produk automotif China, merangkumi kenderaan dan alat ganti. Menurut Persatuan Pengilang Automobil China, ia menyumbang 3.9 peratus, hampir tidak berubah daripada tempoh yang sama tahun lepas.

Google ads
Back to top button