
CARLOS GHOSN: NISSAN MAKIN TENAT DAN TERDESAK!
Walaupun sudah bertahun meninggalkan dunia korporat Jepun secara dramatik, Carlos Ghosn masih belum menutup buku mengenai Nissan.
Dalam wawancara terbarunya bersama saluran berita Perancis BFM TV, bekas ketua eksekutif Nissan-Renault itu sekali lagi mengkritik keras syarikat yang pernah dipimpinnya – dan kali ini, dia menyatakan secara terang-terangan bahawa Nissan kini berada dalam “keadaan terdesak”.
Ghosn, kini 71 tahun dan menetap di Lebanon selepas melarikan diri dari tahanan rumah di Jepun pada hujung 2019, mendakwa beliau sudah lama menjangka kemerosotan Nissan serta kelumpuhan pakatan strategik antara Nissan dan Renault.
“Saya sudah nampak penurunan Nissan dan kemungkinan lenyapnya pakatan itu,” katanya. Walaupun pakatan tersebut masih wujud, hubungan antara kedua-dua syarikat semakin renggang – pemilikan saham silang dikurangkan dari 15 peratus kepada 10 peratus, dan Renault mengambil alih kepentingan 51 peratus Nissan dalam operasi di India.

Mengulas punca sebenar kemelut yang melanda Nissan, Ghosn tidak menuding ke luar, sebaliknya menyalahkan pengurusan sedia ada.
“Keputusan yang terlalu perlahan,” tegasnya. “Sebahagian besar masalah datang daripada kepimpinan Nissan.” Malah, beliau menyifatkan syarikat itu kini berada dalam “situasi yang terdesak” sehingga “terpaksa meminta pertolongan daripada salah satu pesaing utamanya di Jepun.”
Pesaing yang dimaksudkan adalah Honda, satu nama besar lain dalam industri automotif Jepun. Nissan dan Honda dilaporkan pernah berbincang mengenai kemungkinan bergabung, namun rundingan itu terbatal dalam masa beberapa bulan.
Ghosn menganggap usaha tersebut sebagai langkah panik. “Pakatan seperti itu tidak masuk akal,” ujarnya.
Dalam wawancara terdahulu bersama Automotive News, Ghosn menyatakan Honda sebenarnya merancang untuk mengambil alih Nissan secara halus, bukan membentuk kerjasama setara.
Kenyataannya berasas apabila rundingan berakhir, Honda sendiri mengakui tidak mahu bergabung secara sama rata.
Sebaliknya, mereka mencadangkan struktur baru di mana Honda menjadi syarikat induk manakala Nissan menjadi subsidiari melalui pertukaran saham. Ini bercanggah dengan pelan awal untuk menubuhkan syarikat induk bersama di mana kedua-dua pihak berkongsi kawalan.
Ghosn menyifatkan langkah itu sebagai bukti Nissan kini “terumbang-ambing.” Beliau juga tidak menyembunyikan rasa kecewa terhadap pakatan sedia ada dengan Renault yang digambarkannya sebagai “kecil dan rapuh.”
Dalam nada sinis, beliau menambah: “Nissan kini menjadi syarikat yang membosankan dan sederhana.”