Buletin

NISSAN RANCANG TUTUP KILANG DAN BUANG PEKERJA BESAR-BESARAN

Nissan Motor Co, syarikat pengeluar automotif dari Jepun yang sedang bergelut untuk bangkit semula, merancang mengurangkan tenaga kerja secara besar-besaran.

Menurut sumber, kira-kira 20,000 jawatan dijangka dikurangkan di seluruh dunia.

Langkah ini menjadikan kira-kira 15 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja Nissan terlibat dalam pelan rasionalisasi terbaru ini, melebihi dua kali ganda jumlah pemotongan yang diumumkan pada penghujung tahun lalu.

Nissan dijadual mengumumkan laporan kewangan bagi tahun fiskal berakhir Mac pada Selasa, dengan perhatian kini terarah kepada kesan tarif tinggi ke atas kenderaan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Dalam masa yang sama, syarikat itu turut menimbang untuk menutup salah satu kilang pemasangan kenderaan di Jepun bagi menyesuaikan kapasiti pengeluaran dengan realiti penurunan jualan semasa.

Pada November lalu, Nissan mengumumkan pelan pengurangan sebanyak 9,000 pekerjaan dan pengurangan kapasiti pengeluaran global sehingga 20 peratus menjelang tahun fiskal 2026.

Amerika Syarikat dan China – dua pasaran utama – terus menjadi cabaran besar bagi syarikat tersebut.

Februari lalu, Nissan turut menyatakan hasrat menutup sebuah kilang di Thailand dan dua lagi fasiliti lain, namun tidak memberikan maklumat terperinci.

Kini dengan lima kilang pemasangan utama di Jepun, pengurusan terdahulu termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif Makoto Uchida pernah berikrar untuk mengekalkan operasi tempatan, tetapi pelan terbaharu ini dijangka mencetuskan bantahan kuat daripada kesatuan sekerja serta pihak berkepentingan lain.

Pada April, CEO baharu Ivan Espinosa mengambil alih tampuk kepimpinan syarikat dan sejak itu, Nissan telah menilai semula hala tuju pelaburannya.

Dan terbaru, syarikat itu mengumumkan pembatalan projek pembinaan kilang bateri kenderaan elektrik di Wilayah Fukuoka, hanya beberapa bulan selepas memeterai perjanjian dengan pihak berkuasa tempatan.

Nissan turut cuba merapatkan hubungan dengan Honda Motor Co dalam usaha penggabungan operasi, namun rundingan menemui jalan buntu selepas cadangan Honda untuk menjadikan Nissan sebagai subsidiarinya ditolak mentah-mentah oleh lembaga pengarah Nissan.

Dengan kos penstrukturan semula yang tinggi, Nissan menjangka kerugian bersih antara 700 bilion yen hingga 750 bilion yen (kira-kira RM21.5 bilion hingga RM23 bilion) bagi tahun fiskal 2024, kerugian tahunan terbesar dalam sejarah syarikat.

Google ads
Back to top button