Buletin

SUV BERGAYA DEFENDER DARI ICAR CURI TUMPUAN – HARGA MESRA POKET, SEKITAR RM130K

China sekali lagi menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja pantas mengejar arus elektrifikasi, tetapi juga semakin berani dalam reka bentuk automotif.

Terkini, jenama iCar milik Chery sedang membangunkan sebuah SUV pacuan empat roda yang tampil seolah-olah kembar tidak rasmi kepada Land Rover Defender.

Namun, bezanya jelas, iCar ini tidak datang dengan warisan atau lambang prestij British, sebaliknya menawarkan sesuatu yang lebih mudah dicapai iaitu harga yang jauh lebih rendah.

SUV tersebut dijangka menggunakan sistem janaan kuasa jenis range-extender, iaitu pendekatan popular dalam kalangan pengeluar yang belum benar-benar bersedia untuk menawarkan EV tulen sepenuhnya.

Walaupun nama “iCar” mungkin mengingatkan anda kepada projek kereta elektrik Apple yang tidak menjadi kenyataan, tetapi ia tidak ada kaitan langsung antara Chery dan gergasi teknologi itu.

Cuma, selain meniru gaya penamaan ala Cupertino, iCar juga nampaknya mengambil inspirasi visual daripada Defender, sambil kekal dengan beberapa elemen identiti reka bentuk mereka sendiri seperti model X23.

Imej intipan disiarkan oleh Autohome dari China menunjukkan bahagian hadapan SUV ini menampilkan rekaan lampu utama dan gril yang hampir menyamai Defender.

Ditambah pula dengan bampar hitam legam, lengkung roda berwarna gelap dan skirt sisi yang selari, hasil akhirnya cukup “tough”, seolah-olah bersedia menghadapi medan off-road paling lasak.

Di sisi, rekaan terus menguatkan deja vu tersebut, di mana terdapat ventilasi kecil pada panel suku dan pemegang pintu tebal. Satu lagi perbezaan ketara ialah saiz tingkap sisi yang lebih besar berbanding Defender, dan kedudukannya sedikit rendah dari garis cermin hadapan.

Setakat ini, butiran teknikal masih samar. Namun Chery sudah pun mempunyai sistem range-extender sedia ada menerusi model Exlantix ET, yang digerakkan oleh enjin 1.5-liter turbo dan dua motor elektrik. Jika digunakan pada SUV iCar ini, ia bakal memberi gabungan prestasi dan kecekapan yang menarik perhatian.

Berkaitan harga, laporan media tempatan di China menjangkakan angka permulaan sekitar 200,000 yuan (sekitar RM130,000) hingga 250,000 yuan (sekitar RM162,000).

Itu jauh lebih murah berbanding Land Rover Defender sebenar yang dijual pada harga sekitar 688,000 yuan (lebih RM447,000). Jelas, SUV ini bukan saja menyerupai Defender dari segi gaya, tetapi juga mencabar dari segi nilai.

Google ads
Back to top button