Motosikal

APRILIA RS660 RASMI DILANCARKAN. CBU ITALI, 100HP, APRC, HARGA PENGENALAN RM59,900 SEUNIT

Didi Resources Sdn. Bhd. (Didi Resources), pengedar rasmi motosikal jenama Aprilia di Malaysia hari ini melancarkan Aprilia RS660 serba baharu ke pasaran tampatan.

Lahir dengan mengeksploitasi formula kemenangan Aprilia, model baharu ini secara tidak langsung menetapkan petanda aras baharu segmen motosikal berprestasi tinggi.

Menggabungkan rekaan sofistikated dan teknologi terkini, RS660 menandakan kebangkitan semula Aprilia dalam motosikal segmen pertengahan.

“Aprilia RS660 merupakan motosikal segmen pertengahan serba baharu yang akan menembusi pasaran Malaysia dengan menawarkan prestasi dan kualiti terbaik bagi kegunaan harian dan di litar.

“Jentera ini direka dengan teknologi perlumbaan yang dijamin menawarkan keseronokan maksimum semasa menunggang. Lengkap dengan sistem elektronik diinspirasikan dari litar lumba, ia menawarkan keseimbangan yang sempurna di antara kuasa, ketangkasan dan ketepatan.

“RS660 sememangnya lahir di litar lumba yang dibangunkan untuk kegunaan jalan raya,” kata Pengerusi Didi Resources, Rewi Hamid Bugo.

ENJIN

Aprilia RS660 digerakkan oleh enjin dua silinder selari 660cc serba baharu yang diinspirasikan daripada enjin 1100cc V4. Mematuhi homologasi Euro 5, bahagian kepala silinder, kebuk pembakaran, silinder dan piston merupakan komponen sama yang ada pada enjin V4, termasuklah ukuran ‘bore’ 81mm.

Bagi memastikan struktur enjin lebih tahan lasak, crankcase telah dipisahkan kepada dua bahagian secara melintang dengan bahagian silinder dipadankan dengan crankcase atas. Ini sekali gus menghasilkan dimensi enjin yang lebih kompak.

Semua elemen itu membolehkan enjin 660cc ini menjana 100hp pada 10,500rpm dan 67Nm pada 8,500rpm. 80 peratus tork boleh dirasai seawal 4,000rpm dan mencapai 90 peratus ketika rpm mencapai paras 6,250rpm.

Bagi menawarkan karakter enjin seakan V-Twin, pemasaan injap (valve-timing) dengan susulan 270° telah diterapkan. Ini membolehkan pembakaran diposisikan secara tidak simetri lalu menghasilkan prestasi dan bunyi seperti V-Twin.

REKAAN

Aprilia RS660 tampil dengan rekaan yang inovatif, terperinci dan bergaya. Penampilan hadapan diserlahkan dengan ‘fairing’ yang dicirikan oleh lampu depan ‘triple’ LED dan dipadankan bersama lampu nyalaan siang (DRL).

Sistem pencahayaan juga dilengkapi beberapa ciri keselamatan seperti sensor ‘twilight’ yang akan mengaktifkan ‘low beam’ secara automatik. Lampu sisi juga akan diaktifkan jika penunggang menarik brek dengan keras.

Cornering lights pula akan dinyalakan ketika anda menyelusuri selekoh. Selain fairing yang aerodinamik, pembangunan RS660 juga memberi fokus kepada aspek ergonomik bagi menjaminkan keselesaan buat semua penunggang.

CHASIS

Struktur keseluruhan Aprilia RS660 mengabungkan kerangka serta lengan ayun (swingarm) aluminium. Tapak roda 1,370mm dan sudut kecondongan ‘steering head’ 24.1° pula menyumbang kepada kawalan terbaik.

Bahagian enjin yang juga bertindak sebagai elemen penanggung-beban turut menyumbang kepada ketegaran struktur keseluruhan jentera. Bagi menjadikan kerangka lebih ringan dan kompak, bahagian lengan ayun aluminium juga dialihakn terus ke bahagian enjin.

SISTEM SUSPENSI DAN BREK

Roda depan menggunakan fork (upside-down) boleh laras 41mm daripada Kayaba.  Manakala sistem brek dikendalikan kaliper berkembar jenis radial Brembo yang digabungkan bersama cakera brek bersaiz 320mm.

Penggunaan tayar berprestasi tinggi Pirelli Diablo Rossa Corsa II 120/70 ZR 17 depan dan 180/55 ZR 17 belakang menawarkan cengkaman terbaik semasa menunggang di jalan raya dan litar lumba.

SISTEM ELEKTRONIK

RS660 dilengkapi platform inersia 6-paksi yang mampu membaca keadaan semasa jentera hasil bantuan ‘accelerometers’ dan ‘gyroscopes’.

Sistem Aprilia Performance Ride Control (APRC) pula menawarkan ciri berikut: Aprilia Traction Control (ATC), Aprilia Wheelie Control (AWC), Aprilia Cruise Control (ACC), Aprilia Quick Shift (AQS), Aprilia Engine Brake (AEB), Aprilia Engine Map (AEM) dan Cornering ABS.

Penunggang  boleh memilih dari lima mod tunggangan seperti Commute, Dynamic dan Individual yang merupakan tetapan untuk jalan raya. Selain dua mod litar menerusi Challenge dan Time Attack.

Ciri ini boleh diakses dengan mudah menerusi paparan TFT berwarna yang turut menawarkan keterhubungan telefon pintar dengan Aprilia MIA.

PILIHAN WARNA DAN HARGA

Jentera ini didatangkan dengan dua warna pilihan iaitu merah (Lava Red) yang merupakan penghargaan kepada RS 250 1994 versi Reggiani Replica dan warna hitam (Apex Black).

Aprilia RS660 boleh dimiliki pada harga pengenalan RM59,900 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

Google ads
Back to top button