Buletin

CHERY DEDAH CHERY FENGYUN T11 – TAMPIL RINGKAS, TAWAR JARAK GERAK 1,400KM

Chery baru-baru ini mendedahkan model baharu bagi siri kenderaan tenaga baharu, iaitu Chery Fengyun, T11.

Fengyun ialah siri kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICEV) di bawah Chery yang dilancarkan pada tahun 2001. Dua generasi kereta itu telah dilancarkan, tetapi siri berkenaan dihentikan pada tahun 2016.

Walau bagaimanapun, Chery menghidupkan siri itu semula, tetapi kali ini sebagai produk kenderaan tenaga baharu.

Dari luaran, SUV baharu ini tampil ringkas dengan gril hadapan diapit oleh jalur lampu LED, bumbung dilengkapi LiDAR serta cermin sisi elektronik. Secara keseluruhan, meskipun ringkas dan kemas, ia memberikan nuansa futuristik kepada pemilik.

Chery bagaimanapun masih belum mendedahkan perincian bahagian dalam kabin.

Beralih kepada kuasa, Chery Fengyun akan menampilkan teknologi Kunpeng Super Hybrid C-DM, terdiri daripada enjin hibrid khusus, transmisi dan bateri, serta sistem pengurusan bateri.

Menurut laporan, SUV bersaiz penuh itu menggunakan 4.2L bahan api setiap 100km dan memecut hingga 100 km/j dalam 4.26 saat. Selain itu, ia dijangka menawarkan jarak gerak sejauh 1,400km.

Pengeluaran semula siri Fengyun menandakan satu lagi kejayaan bagi Chery dalam pasaran kenderaan tenaga baharu, kerana syarikat itu merancang melancarkan lebih daripada sepuluh kenderaan hibrid plug-in menjelang 2025.

Google ads
Back to top button