Buletin

MERCEDES-BENZ MALAYSIA LANCAR SEDAN C-CLASS VERSI CKD, DARI RM288K

Mercedes-Benz Malaysia hari ini secara rasmi mengumumkan kehadiran model sedan mewah versi pemasangan tempatan (CKD), selepas pelancaran model import sepenuhnya (CBU) beberapa bulan yang lalu.

Sedan C-Class tersebut boleh didapati dalam dua varian utama, iaitu C 200 Avantgarde Line dan C 300 AMG Line yang lebih sporti.

Dari segi kuasa, versi C 200 dijana dengan enjin 1.5 liter turbo (204 hp/300 Nm) yang dipadankan dengan sistem hibrid motor elektrik 15 kW/200 Nm, transmisi 9G-Tronic, serta bantuan integrated Starter generator (ISG).

Varian yang lebih sofistikated C 300 AMG Line pula mendapat nadi 2.0 liter turbo (258 hp/400 Nm), padanan motor elektrik 15 kW/200 Nm, transmisi 9G-Tronic, ISG serta didatangkan dengan sistem peredam selektif.

Kedua-dua varian tersebut boleh dibezakan dengan penampilan, di mana C 200 didatangkan dengan kemasan Avantgarde Line, rim 5 jejari bersaiz 18 inci dengan kemasan gril menegak, sementara model C 300 pula hadir dengan kemasan sporti AMG Line, jejiri hadapan dengan hiasan bintang Mercedes, serta rim AMG bersaiz 19 inci.

Sementara ruang kabin pula membawakan susun atur yang hampir sama dengan model S-Class yang lebih besar, dimulakan dengan skrin paparan digital 12.3 inci, skrin infotainmen MBUX 11.9 inci, sokongan integrasi peranti pintar, kehadiran ciri pengimbas cap jari, pengecasan peranti nirwayar dan sistem pencahayaan ambien.

Harga jualan Mercedes-Benz C-Class versi CKD ini bermula dari RM287,888 atau bulanan serendah RM2,388* untuk varian C 200 Avantgarde Line, sementara C 300 AMG Line berharga RM327,888 atau bulanan serendah RM2,888*.

*Pelan pembiayaan Step Up Agility Financing Plan berdasarkan tempoh pinjaman lima tahun dan bayaran muka 10 peratus.

Google ads
Back to top button