Buletin

CHEVROLET HANTAR 50 UNIT TAHOE KE UKRAINE. BANTU PINDAH ORANG AWAM

Pada bulan lalu, kerajaan Ukraine telah menghubungi General Motors (GM) untuk mendapatkan bantuan.

Negara dalam krisis terbabit memerlukan kenderaan besar untuk memindahkan orang awam dari kawasan konflik.

Justeru, menjelang 22 April lalu, GM telah menyediakan 50 buah unit Tahoe di sempadan Ukraine dalam memberi bantuan kemanusiaan.

Kenderaan berkenaan dibawa masuk melalui hab ketenteraan di Rzeszow, Poland sebelum diserahkan kepada kerajaan Ukraine.

Menurut jurucakap syarikat, George Svigos, GM berkolaborasi bersama syarikat perkapalan antarabangsa, Maersk untuk membawa masuk kenderaan tersebut dari Amerika Syarikat (AS) ke Ukraine.

Svigos memberitahu Detroit Free Press, kenderaan-kenderaan terbabit akan digunakan untuk membantu bantuan kemanusian di kawasan bergolak.

“Keputusan menderma kenderaan-kenderaan ini dilakukan berikutan daripada permintaan Kedutaan Ukraine di Washington,” katanya.

Selain langkah itu, GM dan beberapa jenama besar dunia turut bergabung tenaga menutup fasiliti produksi dan menangguh import di Rusia. –carbuzz

Google ads
Back to top button