Buletin

PROTON KEMBALI MASUK PASARAN AFRIKA SELATAN

PROTON melantik Kumpulan CMH sebagai pengedar kenderaan Proton di Afrika Selatan.

Proses penghantaran pertama kenderaan Proton (CBU) bakal dijual pada bulan September kelak bermula dengan model Proton X50 dan Proton X70.

Ia akan diikuti dengan Proton Saga yang kembali ke negara itu selepas jualan berakhir pada tahun 2012.

Dalam kenyataan media, PROTON meramalkan jualan yang kukuh bagi tahun ini sekali gus menyasarkan lebih daripada dua kali ganda volumnya pada tahun 2023.

Bagi suku pertama tahun ini, jumlah jualan eksport telah meningkat sebanyak 175% berbanding tempoh yang sama pada 2021.

Jualan dijangka bertambah kerana syarikat bersasaran untuk meningkatkan eksport lebih daripada 300% pada akhir tahun ini.

Pada tahun 2010, PROTON mengeksport 29,833 unit ke beberapa pasaran luar negara.

Angka tersebut berkurangan kepada hanya 248 unit pada 2017 walaupun volum mengalami peningkatan secara beransuran.

Pada tahun lepas, 3,018 kenderaan Proton dijual di luar negara, iaitu lebih dua kali ganda berbanding 1,508 unit yang dieksport pada tahun 2020.

Bagi tahun ini, Jabatan Jualan Antarabangsa menyasarkan untuk meningkatkan jualan eksport kepada 10,000 unit.

Pertumbuhan itu diperkukuhkan bukan sahaja dengan memasuki pasaran baharu tetapi juga meningkatkan operasi pemasangan (KD) di luar negara.

Kini, PROTON mempunyai operasi di Pakistan, Kenya dan Bangladesh, manakala Sri Lanka akan bermula pada separuh kedua tahun 2022.

Syarikat kini mengeksport kereta ke 13 pasaran luar negara sebelum kemasukkan Afrika Selatan. Dari segi keseluruhan eksport kenderaan di Malaysia, prestasi PROTON semakin menonjol.

Bermula dengan 12.8% daripada jumlah keseluruhan eksport pada tahun 2019, meningkat kepada 30.2% pada tahun 2020 dan mencecah 60.9% pada tahun 2021.

Ini menjadikan jenama PROTON sebagai pengeksport kenderaan utama negara dan menunjukkan eksportnya terus berkembang walaupun keadaan pasaran yang sukar disebabkan oleh Covid-19.

“Matlamat jangka panjang PROTON memerlukan eksport memainkan peranan utama untuk mengembangkan jualan keseluruhan Syarikat kerana TIV di Malaysia dijangka tidak banyak berubah.

“Justeru itu, kami mengeksploitasi kekuatan produk baharu kami, jenama kami dan juga hubungan Malaysia dengan negara lain untuk bertapak di pasaran baharu.

“Ini kemudiannya diperkukuhkan dengan mewujudkan operasi KD di manamana yang berpotensi, yang juga dapat membantu mengembangkan ekonomi tempatan,” kata Steven Xu, Pengarah Jabatan Jualan Antarabangsa, PROTON.

Google ads
Back to top button