Buletin

MONUMEN SAVED BY THE WHALE’S TAIL SELAMATKAN KERETA API TERJATUH

Sebuah kereta api merempuh penghalang keselamatan dan mendarat pada monumen gergasi ekor ikan paus pada ketinggian 7.62 meter di stesen metro De Akkers, Spijkenisse, Belanda.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 12.30 pagi itu, kereta api terbabit tergantung di udara apabila ‘diselamatkan’ oleh monumen ekor ikan paus gergasi berkenaan.

Ketika kejadian tiada penumpang di dalam kereta api dan pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dia yang berada dalam keadaan terkejut dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

Ironiknya, monumen gergasi ekor ikan paus yang merupakan hasil karya arkitek, Maarten Struijs dinamakan sebagai Saved by The Whale’s Tail.

“Kereta api tergelincir dari landasan dan mendarat di monumen bernama Saved by The Whale’s Tail. Ia benar-benar berlaku.

“Berikutan ekor ikan paus berkenaan, pemandu selamat dan ia amat menakjubkan,” kata Pihak Berkuasa Keselamatan Rijnmond, Carly Gorter kepada AFP.

Menurutnya lagi, punca kejadian masih dalam siasatan dan pemandu telah dipanggil memberi kerjasama berhubung kemalangan itu.

Dalam pada itu, arkitek monument berkenaan berkata dia sangat terkejut kerana ia mampu menampung berat kereta api terbabit dan pemandu sangat bertuah kerana tidak melanggar satu lagi ekor ikan paus yang lebih tinggi.

“Kalau ekor terbabit tidak kuat, dalam keadaan lebih rendah kemungkinan pemandu kereta api sudah terjatuh ke bawah dan tidak mungkin akan selamat.,” kata Struijs.

Dia menjelaskan monumen berusia lebih 20 tahun itu bukan direka sebagai ciri keselamatan tetapi untuk dinikmati penduduk setempat. – agensi.

Google ads
Back to top button