Buletin

BAGAIMANA BASF & TOYOTA BUAT? KERUSI SIENNA 30% LAGI RINGAN!

Toyota Sienna generasi baharu (2021) sememangnya kelihatan menarik. Bahagian depan MPV dengan kapasiti maksimum lapan penumpang itu mengambil pengaruh kereta api laju Shinkasen di Jepun.

Selain reka bentuk ada lagi yang menarik perhatian iaitu kerusi barisan ketiga.

Begitu menarik sehinggakan memenangi Anugerah Altair Enlighten di atas pencapaian penjimatan berat melalui pengurangan berat kerusi baris ketiga.

Sebagai perbandingan, kerusi baris ketiga Sienna model terdahulu mempunyai 15 komponen keluli berbeza menjadikannya begitu berat.

Toyota mahu mengubahnya, kerusi ketiga perlu lebih ringan dan kompetetif dari segi kos termasuk melepasi pelbagai kriteria lain.

Untuk itu Toyota mendapatkan khidmat BASF bagi membantu dalam mencapai sasaran tersebut.

Menurut Todd Muck, Jurutera Prinsipal Kanan Untuk Reka Bentuk Badan dari Pusat R&D Toyota di Michigan, pengurangan berat tidak semestinya perlu mahal. Toyota berjaya mencapai objektif kos dan jimat 15 peratus berbanding Sienna terdahulu dan kerusi baharu 30 peratus lebih ringan. 

Kebiasaannya komponen resin untuk tempat duduk memerlukan pengukuhan dari logam dan akan menambah kos kepada proses pembuatan.

Toyota juga mahukan komponen acuan jenis suntikan (injection) dengan peralatan jenis shoot-and-ship atau dalam erti kata lain dibuat dalam satu komponen tunggal (single piece).

Di situ kemahiran BASF dalam bahan dan reka bentuk dapat membantu.

BASF menggunakan teknik 35 peratus kaca diperkukuh (glass-reinforced) dan polyamide PA6 impak diubah suai (impact-modified) gred Ultramid® B3ZG7 CR dan perisian CAE (computer aided engineering) ULTRASIM®.

Penggunaan perisian itu membolehkan simulasi CAE yang tepat semasa pelbagai fasa pembangunan.

Kedua-dua Ultrasim and Ultramid adalah milik dan cap dagang BASF SE.

Dengan teknik dan bahan yang digunakan bahagian penyandar (seat back) kerusi baris ketiga Sienna mempunyai reka bentuk lebih ringkas seterusnya lebih ringan dan dengan kos lebih rendah untuk dihasilkan.

Dari rangka kerusi dengan 15 logam kepada penyandar belakang resin tunggal (single piece).

Menurut Todd Muck, pengurangan berat itu sebenarnya memberikan faedah langsung kepada pelanggan seperti penggunaan bahan api lebih ekonomikal atau penjimatan berat boleh digunakan untuk perkara lain seperti pemasangan peti sejuk terbina dalam (built-in).

Selain itu menurut Todd Muck, kerusi barisan ketiga juga lebih mudah untuk diangkat iaitu kurang dari 9 kg daya diperlukan berbanding dahulu dengan lebih dari 24 kg daya.

Toyota Sienna direka bentuk dan direkayasa (engineered) di Toyota Ann Arbor, Michigan dan dikeluarkan di Princeton, Indiana.

BASF adalah sebuah kumpulan gergasi dengan jumlah pekerja lebih dari 117,000 orang di serata dunia.

Portfolio Kumpulan BASF dibahagi kepada enam iaitu Kimia, Bahan, Penyelesaian Industri, Teknologi Permukaan, Nutrisi & Penjagaan dan Penyelesaian Pertanian.

Kredit foto: Toyota, BASF

Google ads
Back to top button