CINTA KENA TOLAK, LELAKI BAKAR KERETA
Seorang lelaki berusia 29 tahun bertindak membakar kereta seorang wanita di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Serdang, Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Perbuatan lelaki itu menyebabkan sebuah kenderaan lain yang diparkir bersebelahan turut musnah terbakar.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kejadian pada pukul 5.20 pagi disedari jiran yang segera memaklumkan kepada mangsa.
“Mangsa turun ke bawah pangsapuri untuk melihat keretanya dan mendapati pihak bomba sedang memadamkan kebakaran.
“Berdasarkan soal siasat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berjaya menahan suspek di kawasan Bandar Kinrara pada hari sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Anbalagan berkata, polis merampas sebuah motosikal, sepasang kasut dan pakaian serta pemetik api yang digunakan semasa kejadian.
“Hasil soal siasat, suspek mendakwa membakar kereta mangsa kerana tidak puas hati selepas cintanya ditolak sejak setahun lalu.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga negatif dadah,” katanya.
Dia memberitahu, suspek direman lima hari bermula semalam sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman CCTV berdurasi satu minit 28 saat menunjukkan seorang lelaki menunggang motosikal berhenti berhampiran kereta mangsa lalu menyimbah sesuatu dipercayai minyak dan menyalakan pemetik api. – HM
- BACA: HABIS DUIT TETAPI MASIH ROSAK, LELAKI BERTINDAK BAKAR KERETA
- BACA: HOOLIGAN BOLA SEPAK BAKAR KERETA PENGADIL SELEPAS ADILI PERLAWANAN. TAK PUAS HATI PUNYA PASAL
- BACA: JADI DALANG BAKAR KERETA UNTUK DAPAT KOMISEN, EJEN INSURANS DITAHAN POLIS
- BACA: BENGKEL CAT TERBAKAR, 14 KERETA DAN SEBUAH MOTOSIKAL MUSNAH