Buletin

CLIO RENAULT SPORT KINI DENGAN PILIHAN BLACK EDITION – DARI RM 115K SAHAJA

Pasaran hot hatch di Eropah sememangnya menarik. Malah boleh dikatakan pengeluar berkiblatkan ke sana jika hendak membuat kereta hatchback. Proton sendiri turut mengeluarkan beberapa model hatch untuk pasaran Eropah atau khususnya United Kingdom memandangkan citarasa pasaran yang lebih cenderung kepada bentuk kereta sebegitu.

Paling epik ialah Honda dengan Civic Type R Euro yang khusus untuk pasaran sana. Terbaru Hyundai pula dengan i30 N.

Senario itu juga menunjukkan pengeluar kereta menawarkan pelbagai model berprestasi dan jika dibandingkan dengan pasaran sebelah sini, ia agak membosankan.

Proton cuba bermain dengan Suprima S tetapi jualan model-model lain tidak mencukupi untuk membantu untuk menawarkan lebih banyak varian panas kepada pasaran sehinggalah milikan pegangan terpaksa dikongsikan bersama Zhejiang Geely Holdings Group (ZGH).

Tetapi sebelum itu, pasaran tempatan sempat juga dihidangkan dengan produk-produk R3 seperti Neo R3, Neo RS, Neo Clubsport dan Neo Lotus Racing.

BACA: PENCABAR TYPE R DARI EROPAH – RENAULT MEGANE RS KINI DENGAN MANUAL DAN KLAC BERKEMBAR

Produk dari pengeluar luar? Honda? Toyota? Nissan? Kebanyakannya memenuhi selera umum. Jika ada pun hanya dilengkapi penala mereka sahaja seperti Mugen, TRD, Nismo atau Impul.

Begitulah sadisnya pasaran kereta hatch beprestasi di Malaysia atau ASEAN. Namun ada dua pengeluar dari Eropah yang cuba mengocak air tenang, Renault menawarkan Clio GT Line dan Peugeot melalui 208 GTI yang jauh lebih hangat dari pesaing lain.

Tidak kurang juga Ford dengan Fiesta EcoBoost atau Hyundai dengan Veloster Turbo.

Seperti biasa, model-model ini dek kerana harganya yang melepasi  enam angka menjadikan ia terperosok di senarai bawah angka jualan.

Di Eropah, Renault terus memberikan gula-gula menarik kepada pasaran melalui tawaran baharu Black Edition untuk model Clio Renault Sport. Ia sebagai kemasan baharu kepada dua varian sedia ada iaitu Clio Renault Sport 220 Trophy dan Clio Renault Sport 200.

Memandangkan kedua-dua model itu sudah berkuasa, Black Edition adalah tambahan warna baharu sahaja. Di bawah ialah kelengkapan Black Edition untuk kedua model tersebut.

Clio Renault Sport 220 Trophy Black Edition – warna hitam kilat untuk peralatan di bawah:

  • Pemegang pintu
  • Pelekap sisi
  • Bilah hadapan
  • Lencana dan moulding pintu but
  • Peresap belakang

Clio Renault Sport 200 Black Edition – warna hitam kilat untuk peralatan di bawah:

  • Roda aloi 17 inci Renault Sport
  • Pemegang pintu
  • Pelekap sisi
  • Bilah hadapan
  • Lencana dan moulding pintu but
  • Peresap belakang

BACA: PAKATAN RENAULT-NISSAN KINI PENGELUAR KENDERAAN TERBESAR DI DUNIA

Kit Black Edition ini bukan ekslusif untuk Clio Renault Sport sahaja tetapi terbuka buat sebarang warna badan yang dipilih pelanggan. Harga tambahan ialah GBP 220 (RM 1,230) untuk Clio Renault Sport 220 Trophy dan GBP 350 (RM 1,957) untuk  Clio Renault Sport 200.

Kedua-dua model didatangkan dengan enjin 1.6 turbo dengan output kuasa 220 hp dan 200 hp yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan EDC (Efficient Dual Clutch).

Selain itu, Clio Renault Sport adalah satu-satunya model dalam segmennya menawarkan pemilik talaan casis berbeza seperti di bawah:

  • Sport chassis – untuk kegunaan harian
  • Cup chassis – gabungan karakteristik pemanduan harian dan di litar
  • Trophy chassis – khusus untuk keseronakan pemanduan

Clio Renault Sport juga lengkap dengan kawalan pelancaran (launch control), sistem pemanduan R.S terdiri dari tiga mod pemanduan iaitu Normal, Sport dan Race). Ia juga dipasangkan aplikasi telemetri Monitor R.S. dan sistem suspensi hydraulic compression bump stops yang dapat mengurangkan mendapan lanjut dibangunkan khusus Renault Sport untuk perlumbaan rali.

Di UK, Clio Renault Sport 200 dipasarkan pada harga GBP 20,645 (RM 115,443) manakala Clio Renault Sport 220 Trophy pula berharga GBP 23,195 (RM 129,703).

Google ads
Back to top button