BuletinMotosikal

CUBPRIX 2017: YAMAHA Y15ZR TERUSKAN PENGUASAAN DALAM UJIAN MASA DI TELUK INTAN

Gandingan PETRONAS Sprinta Yamaha- CKJ berjaya menguasai sesi ujian masa CP150 pada Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Teluk Intan, Perak, hari ini.

Ahmad Afif Amran tampil dengan aksi meyakinkan apabila mencatat masa terpantas 52.409s diikuti Mohd Fitri Ashraff Razali dengan catatan 52.868s manakala Md Azhar Abd Jalil (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) ketiga dengan masa 52.899s.

Afif terlebih dahulu turut cemerlang dengan catatan masa terpantasĀ  53.367s pada sesi latihan bebas pertama dan 52.715s ketika sesi latihan bebas kedua.

“Keadaan jentera saya cukup baik pada hari ini. Jurutera pasukan berjaya mengatasi kelemahan yang ada pada beberapa pusingan lepas dan saya harap keadaan ini akan kekal pada sesi Superpole dan perlumbaan akhir esok,” jelas Afif yang sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat dalam kedua-dua pusingan awal musim ini manakala perlumbaan pusingan ketiga di Kemaman telah dibatalkan.
Tambah Afif, “Pasukan ada memberitahu kami dimana jentera pada kali ini dalam keadaan terbaik berbanding pusingan lepas. Sebaik keluar ke litar, memang saya dapat rasakan perbezaan ketara, namun saya mengalami sedikit masalah untuk membrek, mungkin kerana jentera yang laju. Kami berjaya mengatasi masalah ini pada sesi kedua dan beberapa perubahan kecil yang dilakukan membantu saya mencatat masa terpantas.”

BACA: YAMAHA Y15ZR TERBUKTI JUARA DI LITAR

BACA: CUBPRIX 2017, KATEGORI 150CC LEBIH SENGIT

Sementara itu, Mohd Ramdan Rosli yang kembali ke litar Cub Prix pada minggu ini masih belum kehilangan rentak sekalipun telah meninggalkan jentera underbone sejak tahun 2014 apabila muncul pelumba ketujuh terpantas dengan catatan masa 53.058s.

Dalam saingan CP115, Azroy Hakeem Anuar (Givi Honda Yuzy Racing) muncul pelumba terpantas dengan catatan masa 54.842s diikuti duo PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Akid Aziz dan Md Haziq Fairues, masig-masing dengan catatan terbaik 55.244s dan 55.315s.

Saingan ujian masa kategori Wira menjadi milik Saiful Azhary Muhamad (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) dengan catatan 56.571s diikuti Md Aiman Tahiruddin (PETRONAS Sprinta Yamaha Afb-Tech), 56.628s dan Md Syafieq Aiman (Elf Koyoko KC Racing), 56.743s.

Keputusan Pusingan 4, Teluk Intan, Perak

Ujian Masa:

CP150
1. Ahmad Afif Amran (TRG) Yamaha 52.409s
2. Md Fitri Ashraff Razali (KUL) Yamaha 52.868s
3. Md Azhar Abd Jalil (SGR) Yamaha 52.899s
4. Md Zaqhwan Zaidi (SGR) Honda 52.994s
5. Abd Muhaimin Roslan (SGR) Yamaha 53.026sCP115
1. Azroy Hakeem Anuar (KUL) Honda 54.842s
2. Md Akid Aziz (KUL) Yamaha 55.244s
3. Md Haziq Fairues (SGR) Yamaha 55.315s
4. Ahmad Syukran Aizat (TRG) Yamaha 55.729s
5. Md Hafiza Rofa (TRG) Yamaha 55.795s

WIRA

1. Saiful Azhary Muhamad (JHR) Honda 56.571s

2. Md Aiman Tahiruddin (KUL) Yamaha 56.628s

3. Md Syafieq Aiman (JHR) Yamaha 56.743s

4. Md Izam Ikmal Izamli (KUL) Yamaha 56.755s

5. Md Faiz Zekri Sabri (PNG) Yamaha 57.317s

Tags
Google ads
Back to top button