
HONDA HENTI PENGELUARAN CITY HATCHBACK DI INDONESIA, JUALAN BAKI STOK SAHAJA
Honda Prospect Motor (HPM) mengesahkan bahawa pengeluaran model Honda City Hatchback di Indonesia telah dihentikan susulan permintaan pasaran yang semakin perlahan bagi segmen hatchback.
Menurut pihak pengurusan syarikat, model berkenaan tidak lagi menerima Nombor Identifikasi Kenderaan (NIK) bagi tahun 2026.
Ketika ini, jualan di rangkaian pengedar hanya melibatkan baki unit keluaran tahun 2025 yang masih berada dalam stok.
Pengarah Jualan, Pemasaran dan Selepas Jualan HPM, Yusak Billy, memaklumkan bahawa walaupun produksi telah dihentikan, pelanggan masih boleh mendapatkan model tersebut selagi stok masih ada di pusat jualan.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan tarikh sebenar operasi pengeluaran dihentikan, selain tidak mendedahkan jumlah unit yang masih tersedia di pasaran.
Untuk rekod, City Hatchback mula dipasang di Indonesia pada tahun 2021 sebagai pengganti kepada model Honda Jazz yang sebelum itu menjadi antara pilihan utama dalam segmen sama.
Berdasarkan data daripada Gabungan Industri Kendaraan Bermotor Indonesia (Gaikindo), pengeluaran terakhir model itu direkodkan pada Mac 2025 dengan jumlah 120 unit.
Penghantaran dari kilang ke pengedar (wholesales) pula kali terakhir dicatatkan pada Julai 2025 sebanyak 66 unit.
Sepanjang tahun 2025, jumlah keseluruhan wholesales City Hatchback mencecah 456 unit, manakala jumlah produksi direkodkan sebanyak 400 unit.
Dalam masa sama, pihak HPM menegaskan langkah menghentikan pengeluaran ini tidak semestinya bermaksud model tersebut ditamatkan sepenuhnya.
Keputusan untuk menghidupkan semula pengeluaran bergantung kepada perkembangan dan penerimaan pasaran pada masa akan datang.
“Buat masa ini kita lihat dahulu keadaan pasaran. Jika ada keperluan dan permintaan meningkat, tidak mustahil untuk dipertimbangkan semula,” jelasnya.







