Buletin

TESLA MALAYSIA MULA HANTAR TESLA MODEL Y 2025 FACELIFT

Tesla Malaysia telah memulakan penghantaran Model Y terbaru di beberapa lokasi utama termasuk Tesla Delivery Centre di Cyberjaya serta Tesla Service Centres di Pulau Pinang dan Johor.

Perkembangan ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha Tesla memperkukuh penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, sekali gus menyokong peralihan daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada EV.

Dilancarkan secara global pada Januari tahun ini, Model Y baharu ditawarkan dalam dua varian iaitu Rear-wheel drive dan Long Range dengan harga bermula dari RM195,450 dan RM242,450.

Model Y telah lama diiktiraf sebagai kenderaan paling laris di dunia serta menerima penarafan keselamatan tertinggi, dan edisi terkini ini terus mengekalkan reputasi tersebut dengan teknologi canggih serta prestasi yang dipertingkatkan.

Dari segi reka bentuk, Model Y baharu menampilkan lampu belakang dengan panel badan reflektif tidak langsung yang pertama dalam industri, bersama rekaan lampu silang (cross lightbar) di bahagian hadapan.

Pemilik Model Y baharu juga boleh menikmati kemudahan pengecasan percuma di 15 Stesen Pengecasan Destinasi dengan 70 pengecas destinasi tersedia serta kadar pengecasan Supercharger terendah di Malaysia iaitu RM1.19/kWh di 14 Stesen Supercharger dengan 64 pengecas.

Tahun ini, enam lagi stesen Supercharger bakal dibuka di lokasi-lokasi strategik seperti Pavilion Damansara Heights, Bangsar South, IPC Shopping Centre, I-City Finance Avenue, The Mall Mid Valley Southkey dan Toppen Shopping Centre.

Selain itu, Tesla turut memperkenalkan program “Refer & Earn” yang menggalakkan pemilik baru dan sedia ada berkongsi pengalaman mereka, dengan ganjaran sehingga RM15,000 setahun bagi peserta program tersebut.

Pelanggan juga boleh menikmati sokongan pengecasan di rumah secara percuma dan skim pembiayaan kadar faedah rendah, dengan insentif keseluruhan sehingga RM28,000 untuk memiliki kenderaan Tesla.

Terbaru, Tesla telah melancarkan Program Insentif Mobiliti Hijau, bertujuan membantu organisasi dan pekerja yang berhasrat beralih kepada kenderaan elektrik demi masa depan lebih lestari.

Google ads
Back to top button