Buletin

DAMD LANCAR KIT BADAN UNTUK SUZUKI HUSTLER

Jika anda perasan, sejak kebelakangan ini banyak pula model kei-car yang muncul di pasaran Malaysia, walaupun ia tidaklah ditawarkan secara rasmi.

Salah satu daripadanya merupakan Suzuki Hustler, dan jika anda merasakan model standard tidak cukup ranggi, dapatkan sahaja kit badan daripada DAMD.

Ia merangkumi beberapa penambahan seperti muka hadapan serba baharu, unit lampu kabus pada bampar depan, jeriji dengan lencana DAMD, liang udara pada hud hadapan, serta penambahan rak bumbung.

Kit badan Hustler Country ini bakal dijual di Jepun pada bulan ini, sementara model pameran boleh dilihat menerusi Tokyo Auto Salon bermula 14 hingga 16 Januari 2023.

Generasi kedua Suzuki Hustler ini ditawarkan dengan pilihan enjin 660 cc hibrid ringan atau bantuan turbo, di mana kedua-dua trenkuasa ini dipadankan dengan transmisi CVT, serta sistem pacuan roda depan atau AWD.

Jika anda tidak menyukai Hustler, boleh sahaja dapatkan Suzuki Jimny di mana anda boleh memadankan kit badan seakan Ford Bronco, Land Rover Defender atau Mercedes-Benz G-Class – bergantung seberapa dalam poket anda.

Google ads
Back to top button