
DAMOK KUTIP LIMA MATA PERTAMA DI LITAR TERMAS DE RIO HONDO
Pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman atau di kenali sebagai Damok, mula menunjukkan taring pada perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia apabila berjaya mengutip lima mata pertamanya musim ini di Grand Prix (GP) Argentina.
Damok yang bermula di petak ke-20 berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11 dengan catatan masa 35 minit dan 32.132 saat.
“Syukur Alhamdulillah saya berjaya menamatkan perlumbaan di posisi ke-11. Dengan keadaan litar yang agak basah saya akui agak sukar.

“Saya amat gembira kerana dapat menghabiskan perlumbaan sekaligus meraih tempat ke-11. Ini merupakan kali pertama saya berlumba di trek ini,” Kata Damok.
Untuk rekod, perlumbaan di Litar Termas de Rio Hondo dimenangi pelumba Jepun, Tatsuki Suzuki (35:18.099s) sementara tempat kedua menjadi milik Diogo Moreira dari Brazil (35:22.670s) dan Andrea Migno dari Itali memperoleh tempat ketiga (35:22.798s).
Secara keseluruhan, Damok kini berada di posisi ke-17 dan pelumba dari Sepanyol Daniel Holgado kekal menguasai, mengutip 38 mata, manakala Moreira kedua (36 mata) dan Suzuki ketiga (27 mata).