Motosikal

SYARIFFUDDIN JUARA MOTO3 FIM CEV CATALUNYA. BERGEMA LAGU NEGARAKU DI BUMI SEPANYOL

Pelumba negara, Syarifuddin Azman melakar sejarah tersendiri di Litar Catalunya,  Barcelona, Sepanyol apabila muncul juara dalam perlumbaan pertama Moto3 Junior World Championship FIM CEV Repsol.

Syarifuddin yang lebih dikenali sebagai Damok menamatkan perlumbaan dengan kemenangan bergaya apabila mencatatkan masa 29 minit 32.553 saat dalam 16 pusingan sejauh 74.5 kilometer.

Memetik laporan Cakap Sukan, Syarifuddin memulakan perlumbaan di tangga ke-10 sebelum berada dalam kelompok hadapan sebelum mendahului di selekoh ke-10 sehingga ke garisan penamat.

Kemenangan tersebut menyaksikan lagu kebangsaan, Negaraku berkumandang di litar tersebut.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan syukur Alhamdulilah dan juga terima kasih kepada pasukan saya, ketua mekanik dan juga buat pengurus saya, Zulfahmi Khairuddin.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Razlan Razali yang datang memberi sokongan kepada saya hari ini. Terima kasih juga kepada semua penyokong, keluarga dan semua,” katanya sejurus tamat perlumbaan.

Selepas empat pusingan perlumbaan, Syarifuddin kini menduduki tangga keenam dengan 31 mata. – Awani/Kosmo!

Google ads
Back to top button