Buletin

UNCHARTED EV JADI TARUHAN BARU SUBARU – JARAK GERAK 450KM, TAWAR TIGA VARIAN

Subaru sekali lagi mencuri perhatian dunia automotif dengan memperkenalkan Uncharted — sebuah SUV elektrik yang menjanjikan kuasa, kecekapan dan semangat pengembaraan dalam satu pakej serba baharu.

Diperkenalkan buat pertama kalinya di New York pada 18 Julai 2025, model ini bakal mengisi barisan EV global Subaru sebagai model ketiga dan menjadi tonggak utama bagi masa depan elektrifikasi jenama itu.

Dengan versi pacuan hadapan (FWD) menawarkan lebih 483km jarak pemanduan dan varian pacuan semua roda (AWD) melebihi 450km, SUV ini bukan sekadar untuk ke pasar raya, ia dicipta untuk merentas sempadan.

Dikuasakan oleh pek bateri lithium-ion 74.7kWh, Uncharted menyokong pengecasan pantas dari 10% ke 80% dalam masa sekitar 30 minit.

Lebih menarik, ia turut dilengkapi port pengecasan North American Charging Standard (NACS), membolehkannya menggunakan lebih 15,000 Tesla Supercharger di seluruh Amerika Utara, satu kelebihan besar bagi EV era baharu.

Dari segi prestasi, model FWD menjana 221hp, manakala versi AWD menghasilkan 338hp—angka yang menempatkannya dalam liga BEV sport.

Varian GT pula mampu memecut dari 0 ke 96 km/j dalam masa kurang 5 saat. Dipadankan dengan konfigurasi motor berkembar (depan dan belakang) serta talaan suspensi khas Subaru.

Ruang dalaman tidak sekadar cantik, tetapi praktikal. Paparan sentuh bersaiz 14-inci disertakan Apple CarPlay dan Android Auto secara standard, bersama pengecas tanpa wayar berkembar, port USB-C di tempat duduk belakang, serta banyak lagi ciri mesra pengguna.

Dengan panjang badan kira-kira 170mm lebih pendek berbanding Subaru Solterra, ia tetap mengekalkan ruang kargo yang luas dan lebih mudah dikendalikan di kawasan bandar, setanding dengan Subaru Crosstrek.

Varian GT tampil lebih mewah, dengan penggunaan material StarTex kalis air, tempat duduk berfungsi pemanas dan penyejukan, serta sistem audio premium Harman Kardon.

Walaupun gayaan luarannya kekal dengan identiti Subaru, Uncharted sebenarnya merupakan hasil kerjasama rapat dengan Toyota dan berkongsi asas dengan model C-HR+.

Kerjasama ini membolehkan kedua-dua syarikat mengoptimumkan struktur dan sistem penyejukan kenderaan, serta menyesuaikan prestasi dengan realiti penggunaan harian.

Pelancaran rasmi untuk pasaran Amerika Syarikat dijadualkan pada awal 2026. Walaupun belum ada kepastian tentang kemasukannya ke pasaran global, kemunculan Uncharted ini jelas menandakan permulaan baharu bagi Subaru dalam dunia kenderaan elektrik.

Google ads
Back to top button