Buletin

DAVID BLAINE BUAT MAGIS ALA-ALA FILEM UP. PEGANG 52 BELON HELIUM TERAPUNG 7,600 METER DI UDARA

Siapa tidak kenal ahli silap mata, David Blaine. Dia biasa ‘menghiburkan’ orang ramai dengan melakukan magis di jalanan sebelum meraih populariti.

Terbaharu, lelaki berusia 47 tahun ini melakukan aksi lagak ngeri terapung setinggi 7,600 meter di udara berdekatan sebuah gurun di Page, Arizona, Amerika Syarikat.

Dia berpegang pada 52 biji belon helium untuk mengapungkan dirin ke udara dan terbang selama sejam di gurun berkenaan.

“Setiap aksi yang saya lakukan adalah melibatkan ketahanan diri dan melangkaui segala ketidakpastian.

“Saya tidak dapat bayangkan berapa ramai orang yang bermimpi untuk melakukan aksi seperti ini,” katanya.

Blaine berkata, dia mengambil masa sehingga dua tahun untuk menjayakan aksinya termasuk mengambil lesen juruterbang.

Rakaman video yang diberi nama Ascension disiarkan secara langsung di laman YouTube miliknya dan mendapat lebih 13 juta tontonan sehingga kini.

Blaine pada awalnya merancang untuk terapung setinggi 5,486 meter, namun mengambil keputusan melakukan pada ketinggian 7,600 meter.

Ketinggian tersebut hampir menyamai ketinggian penerbangan pesawat komersial iaitu 8,961 meter.

Apabila sampai pada ketinggian tersebut, dia melepaskan gugusan belon itu dan mengaktifkan payung terjunnya.

Blaine mendarat dengan selamat tidak lama kemudian.

Menurut perancangan asal, aksi terapung itu sepatutnya dilakukan di New Jersey dan New York, namun lokasinya terpaksa
ditukar akibat masalah logistik. – agensi

Google ads
Back to top button