Buletin

MYVI TERBANG LINTAS LONGKANG BESAR DI JOHOR BAHRU. PEMANDU CEDERA AKIBAT TERSEPIT

Sejak semalam, tular foto dan video berdurasi 33 saat yang menunjukkan sebuah Perodua Myvi terbabas dan melintasi sebuah longkang besar. 

Berdasarkan kepada video, pasti ramai yang hairan bagaimana sebuah Myvi boleh ‘terbang’ sejauh itu. Kejadian yang dilaporkan berlaku di Jalan Bulatan Bukit Indah, Johor Bahru itu menyebabkan pemandunya mengalami kecederaan di bahagian muka, tangan dan kaki akibat tersepit.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, kereta berkenaan bergerak lurus pada bulatan menyebabkan ia ‘terbang’ merempuh pagar bunga dan seterusnya melintasi longkang besar. 

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kenderaan itu hanya berhenti setelah merempuh sebatang pokok yang berada di seberang longkang.

Hasil siasatan mendapati punca kemalangan disebabkan pemandu hilang kawalan semasa memasuki bulatan lalu bergerak lurus. Semasa kejadian, jalan dua lorong sehala itu adalah kering serta berlampu. Kemalangan menyebabkan kereta berkenaan kemek pada bahagian hadapan, bonet dan mengalami beberapa kerosakan. 

“Kenderaan itu bukan sahaja merempuh bunga pagar tetapi turut melintasi longkang besar dan melanggar sepohon pokok sebelum berhenti. ” kata Dzulkhairi dalam satu kenyataan.

Mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut. Siasatan mendapati pemandu tidak berada dalam keadaan mabuk ataupun di bawah pengaruh dadah.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut. Kes akan disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya,” ujarnya lanjut.- K! ONLINE, Harian Metro,

Google ads
Back to top button