
DUCATI STREETFIGHTER V4 DENGAN SET EKZOS AKRAPROVIC, JIMAT 5.5KG!
Siri Ducati Streetfighter V4, V4 S, V4 SP2 standard pun sudah hebat. Untuk lebih bergaya tambah aksesori dan bukan sekadar estestik, ada komponen yang dapat mengurangkan lagi berat.
Streetfighter V4 standard mempunyai berat 178 kilogram (kg) dan dikuasakan enjin Desmosedici Stradale 208 kuasa kuda (hp).
Standard pun dah garang dengan sayap sisi dan seperti biasa canggih dengan kelengkapan elektronik. Mahu lagi ringan dan lebih kuasa di litar?
Set penuh sistem ekzos titanium Akrapovič yang dibangunkan bersama Ducati Corse menawarkan penjimatan berat sebanyak 5.5 kg.
Kuasa dan tork pada julat pertengahan (mid-range) naik enam peratus dan bunyi kurang daripada 105 dB.
Set itu didatang bersama penapis udara poliester dari dunia perlumbaan dan pemetaan khas dengan parameter DTC, DWC, DPL dan DSC diselarikan mengikut prestasi enjin yang meningkat.
Ekzos itu mesti dipasang dengan perlindungan gentian karbon khas. Set yang ditawarkan ini dari pakej aksesori Ducati Performance dan banyak lagi sebenarnya.
Jika set ekzos penuh terlalu ekstrem dan mahukan lebih santai, penyengap (silencer) Akrapovič sudah memadai dengan penjimatan berat sebanyak 0.8 kg.
Badan penyengap dibuat dari titanium dan tukup ujung (end cap) dari karbon menyumbang kepada penurunan berat dan kalis suhu tinggi. Jaring pada lubang ekzos pula tampil berseni.
Buat pemilik yang nak berjimat daripada beli satu per satu aksesori, Ducati menawarkan Sport Package dengan komponen bilet aluminium seperti penutup tangki minyak, tuil brek dan klac.
Penutup tangki itu mempunyai sistem anti usik dan set aksesori turut terdiri daripada pengimbang berat (counterweight) hendal sebagai pelindung jika jatuh tergelongsor dan mengurangkan gegaran.
Nak lagi agresif? Ducati menawarkan sejumlah perkakasan gentian karbon seperti madgad depan dan belakang dan sesuai untuk tayar litar dan pemanas tayar.
Lagi kelengkapan gentian karbon seperti penutup meter yang membantu dari segi perlindungan aerodinamik, penutup tangki, pelindung gegancu dan sayap sisi.
Komponen tersebut selain menaikkan imej perlumbaan juga memberi manfaat dari segi nisbah kuasa kepada berat.
Senarai aksesori masih belum habis seperti penutup minyak, tangki bendalir brek dan klac yang dibuat dari bilet aluminium dan sepasang grip hendal.
Motosikal cantik, aksesori lengkap, nak pandu pun sayang!
BACA: DUCATI PANIGALE V2 BLACK ON BLACK LIVERY, BAWA IMEJ MISTERI DAN BERGAYA
BACA: DUCATI PERKENAL STREETFIGHTER 2023, V4, V4 S DAN V4 SP2 SEKALIGUS!
BACA: DUCATI STREETFIGHTER V4 LAMBORGHINI, TAK ADA LAMBO PUN BOLEH BELI!








