,
Artikel Pilihan

DIRECT SHIFT CVT, TOYOTA TAK PERNAH PUTUS ASA

Falsafah Toyota adalah mudah. Jika rekaannya yang lama masih belum menggembirakan pelanggan mereka, maka proses Kaizen perlu dibuat secepat mungkin. Atau mereka akan kehilangan pelanggan mereka. Mereka perlukan pelanggan lama dan menarik perhatian pelanggan baru secepat mungkin sebelum mereka mengalami kerugian.

Jadi mereka terus buat apa yang mereka tahu dengan sistem transmisi mereka iaitu CVT. “Do what you love and love what you do”. Apa yang Toyota buat dengan trasnmisi CVT mereka ialah dengan menambah baik transmisi tersebut dengan menjadikan Transmisi Klac Berkembar sebagai penanda aras. Atau jadikan CVT mereka lebih baik dari transmisi Klac Berkembar.

Kenapa CVT?

Transmisi CVT atau Transmisi Ratio Sentiasa Berubah adalah satu transmisi yang akan sentiasa bekerja dalam julat RPM enjin yang efisyen. CVT akan memaksa enjin supaya beroperasi dalam keadaan menjimatkan petrol. Disebabkan CVT menggunakan CVT belt atau tali sawat antara 2 takal, maka ia tidak mewujudkan hubungan mekanikal antara CVT dengan pemandu. Pembaca boleh membaca artikel berkenaan transmisi CVT yang ditulis sebelum ini pada bahagian SATU, DUA dan TIGA.

Kelemahan CVT

Walaupun lebih efisyen, namun CVT adalah kurang responsif apabila memulakan perjalanan dari keadaan statik. Tambah pula bagi pemandu yang biasa menggunakan gear manual, timbul perasaan pelik apabila urusan menukar ratio gear dibuat oleh sistem “Artificial Intelligent” melalui Tranmission Control Unit. Dalam operasi CVT, enjin akan berputar terlebih dahulu pada halaju yang ditetapkan oleh pemandu dan CVT akan mengejar dan mengubahsuai ratio takal berdasarkan halaju enjin

Bagi gear manual atau gear mekanikal, gear akan ditukar terlebih dahulu barulah enjin akan mendaki kelajuan atau RPM dalam keadaan yang sekata. Keadaan ini menjadikan CVT beroperasi dalam dunia sendiri di luar logik fkiran manusia. Tambahan pula bunyi mengerang yang dihasilkan oleh CVT bagaikan bunyi transmisi auto biasa dalam keadaan rosak

Apa Sebenarnya yang pelanggan Mahu

Kelancaran – operasi transmisi semasa memulakan pecutan ataupun ketika merayap di dalam kesesakan jalan raya. Kalau tersengguk-sengguk seperti budak baru belajar memandu dengan gear manual memang pelanggan tidak suka

Rasa mekanikal – wujudnya sentapan ketika pemandu mula memecut untuk pemanduan yang lebih seronok

Kecekapan – transmisi memerlukan kecekapan mekanikal yang tinggi bagi mengurangkan penggunaan bahan api

Penukaran Gear – perlu dibuat dengan pantas tanpa ada sebarang penangguhan

Jadi bagi memenuhi kesemua objektif rekabentuk di atas, Toyota mengambil inisiatif dengan memperkenalkan Direct Shift CVT. Berbeza dengan pesaingnya yang lain, transmisi CVT ini menggunakan

1. Penukar Daya Kilas atau Torque Converter

2. Dua unit Sistem Klac

3. Satu unit gigi gear untuk memulakan pecutan

Jadi Toyota menghasilkan satu unit transmisi baru yang menggabungkan CVT, gear auto konvensional dan juga manual

Bagaimana Transmisi Ini Beroperasi

1. Kuasa dari enjin akan dihantar pada sistem transmisi melalui Pengubah Daya Kilas atau Torque Converter. Cara ini sama dengan sistem CVT yang biasa. Pengubah Daya Kilas digunakan kerana proses penghantaran kuasa pada sistem akan berjalan dengan lebih lancar

2. Daripada Pengubah Daya Kilas laluan kuasa akan berpecah kepada dua bahagian iaitu samaada menggunakan gear manual mekanikal ataupun terus kepada transmisi CVT

3. Sama seperti gear manual, transmisi ini ada gear selector yang akan membolehkan gear mekanikal berfungsi semasa transmisi ini memulakan perjalanan. Ia akan diaktifkan dengan menggunakan gear selector. Pada ketika ini Pek Klac No.1 akan diputuskan. Sistem boleh beroperasi sehingga kelajuan maksima 56km/j

4. Sistem akan terus menggunakan gear mekanikal sehingga enjin beroperasi pada RPM paling tinggi yang dibenarkan sebelum ia bertukar menggunakan transmisi CVT.

5. Untuk CVT beroperasi, sistem TCU akan menghantar arahan khusus pada Sistem Klac No. 2 supaya ia diaktifkan dan takal CVT akan mula berpusing

6. Gear Selector akan memutuskan sambungan gear mekanikal dari Pengubah Kilas dan serentak itu juga Sistem Klac No. 1 akan mula diaktifkan. Jadi tenaga dari enjin akan masuk dari sistem melalui pengubah daya kilas, ke sistem klac no.1, sistem transmisi CVT, sistem klac no 2 dan akhir sekali keluar daripada sistem.

7. Pengubah Daya Kilas akan mula mengunci sistem klac dalaman supaya kecekapan mekanikal sistem bertambah dan ratio transmisi akan mula dikawal oleh sistem CVT.

8. Sekiranya kereta mula memperlahankan halaju, pengubah daya kilas akan melepaskan klac dalaman dan bertindak sebagai “fluid coupling” dan memperlahankan kereta secara beransur-ansur. Sistem Klac no. 1 dan 2 akan dilepaskan, serta gear selector akan mula menyambungkan gear mekanikal dengan pengubah daya kilas.

9. Sistem akan bergantung pada pengubah daya kilas dan juga gear mekanikal untuk bergerak.

Komponen lain yang diubah

Disebabkan tugas untuk mula bergerak dan memecut dari keadaan statik telah diambil alih oleh gear mekanikal, jurutera boleh mengurangkan ratio dan saiz pada takal input dan juga output. Rekaan ini mengurangkan kesan inersia sebanyak 40% menjadikan sistem CVT bertambah cekap. Sentuhan mekanikal antara takal dengan tali sawat telah dikurangkan dari 11 darjah menjadi 9 darjah. Perubahan rekaan ini menjadikan proses pertukaran ratio bertambah cepat sebanyak 20%

Pam hidraulik kecekapan tinggi yang digunakan bagi proses pengubahan diameter takal CVT menjadikan proses penukaran ratio menjadi semakin cepat dan responsif.

Apa yang dapat dicapai dari rekaan ini?

Dari segi prestasi, rekaan ini meningkatkan kecekapan pemindahan tenaga kinetik dan juga “ratio spread”. Ratio spread menjelaskan sistem ini semakin berupaya mengekstak kuasa enjin dari RPM yang rendah ke RPM yang tinggi tanpa sebarang masalah

Sistem ini juga mengurangkan power lost berlaku dan kecekapan bahan api telah bertambah sebanyak 6%. Malah masa yang diambil oleh sistem untuk mengubah ratio adalah sama dengan transmisi Klac Berkembar menukar gear pesaing mereka. Degil sungguh Toyota ni ye. Nak jugak dia pakai CVT lagi

Tags
Google ads
Back to top button