
RASMI: HARLEY DAVIDSON ROAD GLIDE DAN STREET GLIDE 2024 KINI DI MALAYSIA – DARI RM190,900
Harley-Davidson memperkenalkan dua barisan model keluaran 2024 untuk pasaran Malaysia menerusi Harley-Davidson Road Glide dan Street Glide baharu.
Motosikal dari keluarga American Touring itu kini boleh didapati pada harga RM190,900 bagi Street Glide dan RM206,900 bagi Road Glide.

Atas kertas, kedua-dua model ini dikuasakan enjin Milwaukee Eight 117 bersesaran 1,923cc V-Twin baharu yang lebih berkuasa dan ringan dan mampu menjana 107hp dan 175Nm.

Bagaimanapun, perbezaan utama kedua-duanya tertumpu kepada bahagian panel badan depan dengan Road Glide memanfaatkan ‘fairing’ jenis Sharknose yang lebih lebar dan dipadankan bersama lampu LED yang panjang. Sementara itu, Street Glide pula menampilkan ‘fairing’ jenis batwing yang menempatkan lampu berbentuk bulat.

Namun, kedua-dua model menampilkan ciri aerodinamik yang optimum yang dibangunkan teknologi CFD (computational fluid dynamics) yang turut diguna pakai pasukan MotoGP bagi membangunkan jentera lumba.
Menariknya, Road Glide baharu ini adalah 8.2kg lebih ringan berbanding model terdahulu sementara Street Glide adalah 7.3kg lebih ringan.

Dalam pada itu, kedua-dua model menawarkan pakej elektronik sama termasuk Road, Sport, Rain dan Custom serta cornering ABS dan traction control.
Sementara itu, segala maklumat motosikal boleh diakses menerusi panel meter TFT 12.3-inci.

Dalam perkembangan sama, Harley-Davidson Malaysia turut memperkenalkan CVO Road Glide ST edisi ulang tahun ke-25. Menariknya, hanya empat unit sahaja dipasarkan di sini dengan kesemuanya telah pun habis dijual pada harga RM346,900.