Buletin

DUCATI PANIGALE V4 2023 DAPAT PAKEJ ELEKTRONIK BAHARU!

Ducati memang aktif dalam memperkemaskan motosikal keluarannya, ada sahaja tawaran terbaru sama ada peningkatan spesifikasi dan edisi istimewa.

Terbaru Ducati memperkenalkan barisan Panigale V4 tahun 2023 (MY2023) dengan beberapa peningkatan elektronik supaya lebih mudah dikendalikan dan lebih intuitif untuk semua tahap penunggang.

Peningkatan yang dibuat merangkumi ketiga-tiga Panigale V4, Panigale V4 S dan Panigale V4 SP2.

Kawalan Pembrekan Enjin (EBC) EVO 2

Bagi mempertingkatkan kestabilan, ketepatan dan arah (directionality) semasa pembrekan dan selekoh dan juga membolehkan penunggang membuat tetapan elektronik yang lebih tepat untuk setiap litar, Ducati melengkapi Panigale V4 2023 dengan perisian EBC EVO 2 baharu.

Perubahan yang dibuat membolehkan kalibrasi gear kepada gear yang berbeza pada setiap tahap tetapan yang boleh dipilih.

Ianya dibuat untuk mengoptimumkan keamatan (intensity) pembrekan enjin mengikut beban pada roda belakang.

Pada tahap pertama pembrekan iaitu ketika beban rendah pada roda belakang, EBC EVO 2 memberikan sedikit pembrekan enjin dan kemudian ditingkatkan apabila penunggang menghampiri apex.

Di dalam situasi itu, pembrekan enjin paling banyak dihantar untuk memperlahankan motosikal dan memperkemaskan laluan.

Pemetaan ini memberikan intervensi yang lebih seimbang dan sistem itu mengurangkan penguncian roda belakang di dalam situasi brek yang paling mencabar dan seterusnya mempertingkatkan kestabilan dan ketepatan semasa di selekoh.

Ducati Quick Shift (DQS)

Ducati turut membuat tetapan baharu untuk DQS bagi mempertingkatkan kelancaran penukaran gear pada setiap tahap bukaan pendikit (penuh atau separa penuh) dan menguruskan dua keadaan itu secara berbeza.

Sebelum ini, sistem akan menghentikan suntikan (injection cut) semasa penunggang menukar gear ketika pendikit dipulas separuh.

Sistem terbaru pula berfungsi dengan melambatkan masa pencucuhan (retard ignition timing) seterusnya melancarkan penukaran gear dan juga tanpa pemutusan kuasa enjin (cut-off).

Tetapan ketika penukaran gear semasa pendikit dipulas penuh pula kekal di mana sistem akan memutuskan suntikan.

Bagaimanapun, fasa pengembalian tork telah diperhalusi bagi memberikan lebih kestabilan dan keseragaman.

Kipas penyejukan

Turut dipertingkatkan ialah kipas penyejukan yang dapat memberikan pengurusan operasi suhu dan keselesaan yang lebih baik kepada penunggang.

Ianya juga dapat mengurangkan penghasilan haba selepas sesi di litar.

Kawalan Cengkaman Ducati (DTC) dan Ride by Wire

Sistem DTC dipertingkatkan supaya lebih tepat pada sudut condong (lean angle) manakala sistem RBW pula menambah baik perhubungan di antara daya kilas yang diminta dari penunggang dan daya kilas sebenar yang dihantar.

Panigale MY 2022

Kemaskini yang ditawarkan juga boleh dinikmati pemilik Panigale V4, Panigale V4 S dan Panigale V4 SP2 2022 di pusat servis Ducati bermula hujung Julai 2022 dan setakat ini pemakluman dibuat untuk pelanggan di Eropah.

BACA: DUCATI STREETFIGHTER V2 2022 ADA WARNA HIJAU (STORM GREEN)!

BACA: INI DUCATI MotoE, TAK ADA ENJIN DAN GUNA ELEKTRIK!

BACA: DUCATI MULTISTRADA V4 PIKES PEAK, MULTISTRADA PALING SPORTI DIKELUARKAN!

Google ads
Back to top button