
EIDER 650 NK
Jentera dua roda Eider 650 NK dilancarkan di India pada harga INR 3.37 lakhs (sekitar RM20,000) seunit. Model berkenaan berasal daripada CFMoto 650NK. CFMoto ialah sebuah syarikat China yang mengeluarkan motosikal untuk dieksport.
Karakter 650 NK diketengahkan menerusi lampu hadapan mono bersama dua lampu projektor, lampu nyalaan siang, indikator membelok yang disepadukan pada bahagian tangki dan tuil klac dan brek yang boleh dilaras.
Konsol meter diambil daripada instrumen Koso. Untuk keselesaan tunggangan, Eider 650 NK dilengkapi fork konvensional Kayaba 41mm bersama travel 120mm dan Kyaba cantilever monoshock dengan travel 45mm.
Keyakinan menghentikan jentera 193kg itu diserahkan kepada brek cakera 300mm bersama angkup piston berkembar di hadapan. Belakangnya dilengkapi angkup piston tunggal. Ciri itu dilengkapkan dengan tayar 120/70ZR17 di hadapan dan 160/60ZR17 di belakang.
Jentera itu dijana enjin 649.3 cc dengan sistem penyejukan cecair DOHC yang mampu menghasilkan kuasa 56 bhp @ 9,500rpm dan tork 62 Nm @ 7,000rpm. Penghantaran kuasa ke roda diserahkan kepada kotak gear 6-kelajuan.