Artikel Pilihan

ENJIN HONDA 2.2 V6, 700HP

Sudah lama kami tidak menulis berkenaan dengan Honda. Disebabkan banyak masa terluang, penulis menjumpai satu enjin yang telah dibangunkan oleh Honda. Namun apa yang menarik perhatian penulis ialah kemampuan enjin Honda menghasilkan kuasa walaupun saiznya kecil sahaja.

Enjin yang dimaksudkan ialah enjin 2200cc HPD HI12R dengan konfigurasi 6 silinder yang dihasilkan untuk Formula Indy Car. Jika V6, ia bermaksud ia memiliki 2 blok silinder. Setiap blok ada 3 silinder dengan sudut 75 darjah antara satu sama lain. Blok ini dibina daripada aloi alumunium tuang bagi mengurangkan berat

Piston juga dihasilkan daripada aloi aluminium yang disudahkan dengan proses kemasan dengan mesin CNC. Rod pula dihasilkan daripada aloi keluli untuk ketahanan. Enjin ini direka dengan saiz diameter silinder meleibihi saiz lejang.

Diameter silinder ditetapkan pada 95mm manakala saiz lejang ditetapkan pada 51.7mm. Nisbah diameter/lejang yang dihasilkan menjadi 1.83 dan dikategorikan sebagai oversquare enjin. Tujuan Honda menghasilkan diamter yang besar ialah bagi memuatkan injap yang lebih besar bagi memudahkan enjin bernafas kencang ketika diperah.

Salah satu strategi Honda ialah untuk menghasilkan kuasa enjin dengan RPM yang tinggi. Enjin ini mampu diperah sehingga 12,000 RPM iaitu memasuki julat enjin rotari. Jika dikira, piston akan bergerak pada halaju 20.7 meter per saat. Setiap silinder menggunakan 4 injap yang dikawal menggunakan sistem DOHC.

Bagi menjana kuasa yang tinggi, Honda bergantung kepada boost sehingga 23.8 psi ataupun 164kPa yang dihasilkan daripada sistem turbo berkembar. Honda telah menggunakan sistem turbo yang dihasilkan oleh Borg Warner EFR 7163. Ia bermaksud diameter kompresor ialah 71mm dan diameter turbin pula ialah 63mm

Sistem petrol pula menggunakan strategi suntikan berkembar. Satu sistem suntikan EFI dengan penyuntik berada di belakang injap kemasukan dan satu lagi penyuntik dipasang terus di dalam silinder. Kedua dua sistem suntikan ini menggunakan sistem Drive By Wire oleh Honda.

Namun ECU yang mengawal operasi enjin dibekalkan oleh McLaren. Ya McLaren, takkan nak pakai ECU Myvi pulak kan. Sistem pelinciran pula menggunakan jenis Dry Sump dengan pam minyak enjin berkembar dan sistem takungan berasingan.

Dengan 6 silinder, sesaran 2200cc, sistem pancitan petrol berkembar, turbo setinggi 23.8 psi dan diperah sehingga 12,000 RPM, enjin ini berjaya menghasilkan 700 kuasa kuda. Namun Honda masih merahsiakan berapa tork yang berjaya dijana oleh enjin ini.

Strategi Honda ialah menghasilkan kuasa pada RPM yang tinggi dan menggunakan tekanan yang sangat tinggi. Lebih tinggi daripada enjin FreeValve 3 silinder milik Koenigsegg. Namun enjin ini lebih berat dengan 112.5kg berbanding dengan enjin FreeValve yang berat sekitar 70kg sahaja.

Anda nak beli enjin ini? Emm boleh tapi kena tanya pihak IndyCar kerana enjin ini dibina khas untuk kegunaan kereta lumba Formula IndyCar. Jadi salah satu lagi sebab enjin ini mampu menghasilkan kuasa tinggi pada RPM yang tinggi dan boost yang tinggi ialah ia menggunakan bahan api E85

E85 bermaksud bahan api ia menggunakan 85% ethanol dan 15% petrol. Gabungan bahan api ini menghasilkan Research Octane Number setinggi 108. Sedangkan petrol di Malaysia paling tinggi pun anda boleh jumpa ialah RON 100.

Kelebihan memiliki RON yang tinggi membolehkan jurutera Honda menggunakan pemasaan pencucuhan atau advanced ignition timing, nisbah mampatan yang lebih tinggi (Honda tidak mendedahkan berapa nishbah mampatan enjin ini) serta boost yang tinggi.

Jadi inilah enjin 2200cc V6 turbo berkembar yang menghasilkan 700 kuasa kuda. Tiga faktor yang membolehkan Honda mencapai angka ini ialah kuasa dihasilkan pada RPM yang tinggi sehingga 12,000 RPM, menggunakan boost yang tinggi sehingga 23.8 psi serta menggunakan bahan api E85 dengan RON 108.

Jika anda bercadang untuk membeli enjin ini untuk dipakai pada Sagaru anda, baik lupakan sahaja niat murni anda. Enjin ini hanya bertahan sekitar 4000km sahaja sebelum ia perlu dibina semula. Enjin yang menghasilkan terlalu banyak kuasa memiliki jangka hayat yang pendek.

Google ads
Back to top button