Motosikal

DIDI AUTOMOTIVE PENGEDAR BAHARU TRIUMPH MOTORCYCLES DI MALAYSIA. BERKUAT KUASA 15 JANUARI 2023

Triumph Motorcycles hari ini mengumumkan Didi Automotive sebagai rakan pengedar baharunya untuk pasaran Malaysia berkuat kuasa pada 15 Januari 2023. 

Triumph dan Didi Automotive akan bekerjasama untuk menguruskan aspek pengimportan, jualan dan pengedaran motosikal Triumph, selain terus mengembangkan jenama tersebut di sini. 

Dua kemudahan Triumph baharu di Petaling Jaya dan Pulau Pinang akan menawarkan pengalaman, perkhidmatan, selepas jualan terbaik kepada semua pelanggan. 

“Malaysia merupakan pasaran penting untuk Triumph dan menjasi salah satu daripada lima pasaran motosikal tertinggi di rantau Asean. Justeru, Didi Automotive akan menawarkan rangkaian lengkap jentera Triumph yang terdiri daripada model moden klasik, roadster dan Tiger.

“Ini termasuklah model bersesaran 660cc seperti Trident, Tiger Sport sehingga Rocket 3 dengan enjin 2.5 liter. Hasil kerjasama dengan Bajaj Automotive, model Triumph berenjin lebih kecil akan membuatkan jenama ini lebih mudah diakses oleh semua peminat motosikal di Malaysia,” kata Triumph Motorcycles dalam satu kenyataan rasmi. 

Triumph Motorcycles dan Didi Automotive merancang untuk membuka enam cawangan di seluruh negara. Langkah ini akan membolehkan jenama Triumph diakses oleh lebih ramai peminat motosikal

“Kami berbesar hati untuk memulakan kerjasama dengan Didi Automotive di Malaysia dan mengalu-alukan lebih ramai peminat serta pelanggan baharu untuk mengenali jenama Triumph,” kata Ketua Pegawai Komersial Triumph Motorcycles Ltd, Paul Stroud. 

“Didi Group gembira kerana diberi kepercayaan untuk menjadi wakil Triumph di Malaysia. Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk memberikan pengalaman pemilikan terbaik kepada semua pelanggan sedia ada dan baharu berdasarkan kepada standard Triumph,” kata Pengerusi Chairman Didi Group, Rewi Hamid Bugo. 

Google ads
Back to top button