Buletin

LINGBOX MINI EV BAKAL BERADA DI PASARAN MALAYSIA. 41HP, 220KM SEKALI CAJ, HARGA BAWAH RM100K

27 Disember lalu, anak syarikat milik EPMB, EP 4Wheeler Sdn Bhd, telah menandatangani Perjanjian Pengedar Eksklusif dengan Hubei Dongfeng Power Auto Trade Co Ltd dan Xiamen Tsingyan Hylong Motor Technology Co Ltd bagi memasang serta menjual kereta Lingbox pemanduan kanan untuk pasaran Malaysia dan Indonesia.

Lingbox ialah salah satu model di bawah jenama kereta Lingbao, dimiliki oleh Jiangsu Jemmell New Energy Vehicle Co Ltd yang berpangkalan di China.

Menerusi perjanjian lima tahun itu, EPMB juga diberi pilihan sama ada mahu menggunakan jenamanya sendiri untuk EV tersebut.

Lingbox mini-EV ini mempunyai ukuran dimensi 3,584mm panjang, 1,475mm lebar dan 1,666mm tinggi serta jarak roda 2,455mm.

Untuk bahagian luaran, ia menampilkan lampu hadapan bulat serta gril palsu dengan kemasan sekeliling berbentuk heksagon, bentuk badan bersegi serta kemasan ruang roda yang direka seakan memiliki overfender.

Di ruang kabin, Lingbox mini-EV didatangkan dengan dua skrin iaitu instrumen digital berukuran 7 inci dan paparan infotainmen 10.1 inci. Untuk ciri keselamatan, ia hanya dibekalkan dengan satu beg udara di bahagian pemandu sebagai model standard 2023.

Lingbao Box di pasaran Malaysia berkemungkinan sama seperti keluaran di China. Ia dikuasakan oleh motor eletrik tunggal pacuan roda hadapan dan menghasilkan kuasa 41hp atau 48hp. Ia mampu memecut dari 0-50km/j dalam masa 7 saat, manakala kelajuan maksimanya dihadkan pada 101km/j.

Lingbox mini-EV menggunakan bateri LPF berkapasiti 19.2 kWj yang boleh mencapai jarak sejauh 220km dengan satu cas penuh.

Bateri tersebut boleh dicaj dari 20 ke 80 peratus dalam masa hanya 1.2 jam dengan sistem pengecasan pantas. Namun, jika menggunakan pengecas wallbox rumah ia memerlukan masa selama 11 jam untuk dicaj penuh.

Melalui kenyataan dikeluarkan oleh syarikat tersebut, Lingbox mini-EV akan dijual pada harga di bawah RM100,000 di Malaysia. – Berita Harian

Google ads
Back to top button