Buletin

OTT TANAK DAH TAK NAK DENGAN PASUKAN HYUNDAI TAHUN HADAPAN

Berita ini mungkin memberikan sedikit tamparan buat pasukan Hyundai Motorsport apabila pelumba utama mereka, Ott Tanak mengumumkan bahawa perlumbaan di Jepun bulan hadapan bakal menjadi aksi terakhir beliau untuk memandu jentera Hyundai i20 N Rally1 mereka.

Ott Tanak membuat pengumuman tentang pengunduran diri daripada pasukan Hyundai Motorsport sejurus tamat perlumbaan RallyRACC Rally de España, yang mana beliau menamatkan tempat keempat keseluruhan di perlumbaan tersebut.

Dengan pengumuman ini, kelibat Ott Tanak di FORUM8 Rally Japan bakal menjadi aksi terakhir beliau memandu jentera Hyundai i20 N Rally1. Untuk rekod, Ott Tanak menyertai pasukan Hyundai Motorsport pada tahun 2020 sejurus beliau memenangi kejuaraan FIA WRC bersama pasukan Toyota Gazoo Racing tahun sebelumnya. Sepanjang bersama pasukan ini, Ott Tanak berupaya mencatat lima kejayaan podium pertama, suatu pencapaian yang dilihat agak sederhana apatah lagi beliau hadir dengan reputasi sebagai mantan juara WRC.

Pengumuman Ott Tanak itu barangkali mengejutkan pasukan yang berpangkalan di Alzenau itu bagi mendapatkan barisan pemandu berpengalaman bagi menghadapi saingan WRC 2023 sementelah penamatan kontrak Oliver Solberg akhir musim ini.

Menurut Timbalan Pengarah Pasukan Julien Moncet berkata. “Pemergian Ott Tanak merupakan suatu kekecewaan tetapi kami harus menerima dan menghormatinya. Tidak dinafikan beliau merupakan antara pemandu rali yang hebat dan kami bertuah kerana dapat merasai kemenangan yang telah kami capai selama tempoh tiga musim bersama ini.”

Kini hanya tinggal Thierry Neuville sahaja sebagai pelumba tunggal yang sahih untuk pasukan Hyundai Motorsport musim hadapan. Ikut perancangan, pasukan dari Korea Selatan ini mahukan gandingan pelumba yang berpengalaman bagi mengisi kerusi pemandu setelah Oliver Solberg tidak lagi disambung kontrak bagi musim hadapan. Dani Sordo yang turut berkongsi jentera ketiga musim ini dijangka masih mahu mengekalkan status sebagai pelumba secara separuh masa.

Sudah tentu Thierry Neuville turut terasa dengan kehilangan Ott Tanak sebagai seorang rakan sepasukan. Mempunyai rakan sepasukan yang cukup pantas dan laju turut berupaya memberikan saingan dari dalam selain daripada turut berupaya memberikan motivasi untuk terus kekal laju dan pantas.

Cuma kini yang menjadi persoalan ke manakah hala tuju Ott Tanak musim hadapan? Kembali semula ke Toyota Gazoo Racing atau M-Sport Ford?

BACA : OTT TÄNAK PINDAH KEM, DARI TOYOTA KE HYUNDAI UNTUK WRC 2020

BACA : THIERRY NEUVILLE & OTT TANAK SAMBUNG KONTRAK LAGI BERSAMA HYUNDAI

Google ads

B K

Back to top button