Buletin

PROGRAM EKOSISTEM TRANSFORMASI DIGITAL MIDA-PERODUA. KENAL PASTI 5 VENDOR BERPOTENSI TINGGI

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan PERODUA sedang bersiap sedia melalui perkongsian strategik mereka dengan memperkenalkan Program Ekosistem Transformasi Digital MIDA-Perodua.

Program itu bertujuan untuk menaik taraf pembekal automotif tempatan ke peringkat seterusnya dengan menggunakan teknologi dan jentera termaju serta mendigitalkan proses pembuatan mereka dengan mengguna pakai Industri 4.0.

Syarikat-syarikat tempatan memainkan peranan penting dalam membina ekosistem industri negara, seterusnya menyokong firma besar dan multinasional. Kerjasama di antara MIDA-PERODUA yang bermula sejak tahun 2020 adalah penting bagi memastikan keupayaan pemain tempatan dalam industri automotif terus kukuh.

Inisiatif MIDA memberi kemudahan kepada syarikat untuk mengguna pakai pendigitalan dan Industri 4.0. Hasilnya, kami berjaya menyumbang kepada pertumbuhan besar pembuatan PERODUA melalui pemerkasaan rakan kongsi industri dan penyedia perkhidmatan mereka.

“Kerajaan telah melaksanakan usaha bersepadu dalam mengkaji semula dasar sedia ada dan menentu ukur semula strategi pelaburan untuk memastikan persekitaran perniagaan Malaysia kekal kondusif kepada pelabur global.

“Kerajaan juga sentiasa berusaha untuk mempromosi dan membantu syarikat tempatan  untuk meningkatkan dan mempercepatkan penggunaan teknologi pembuatan pintar dan Industri 4.0 melalui pelbagai insentif dan kemudahan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman.

Untuk tahun 2022, MIDA meneruskan inisiatifnya melalui seminar pelaburan domestik, penglibatan dengan persatuan dan dewan perdagangan kebangsaan, program rantaian industri/rantaian bekalan serta komitmen platform penyelarasan pelaburan domestik.

MIDA akan berusaha menyelaraskan sesi pemadanan perniagaan di antara syarikat utama dan bakal pembekal/penyedia perkhidmatan tempatan dalam industri tertentu, daripada pengaturan rangkaian untuk syarikat-syarikat dan bakal pembiaya serta penyedia teknologi.

Sehingga 30 Jun 2022, 238 syarikat milik rakyat Malaysia telah diluluskan dengan geran perniagaan bernilai RM138.5 juta. Penerima terdiri daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) daripada industri intensif buruh seperti plastik, kayu, perabot dan tekstil, manakala selebihnya daripada industri berkaitan perkhidmatan.

“Program Ekosistem Transformasi Digital MIDA-PERODUA adalah sejajar dengan usaha Kerajaan untuk meningkatkan aktiviti pembangunan ekosistem teknologi tempatan dari segi rantaian bekalan dan nilai, aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta inovasi dan pengkomersilan.

“Ia telah memberi petunjuk yang memberangsangkan kerana para peserta kumpulan pertama telahpun melaksanakan projek cadangan mereka.

“Program ini adalah untuk mempamerkan kemajuan projek kumpulan pertama serta mengalu-alukan kumpulan kedua ke projek tersebut kerana mereka juga membentangkan idea Industri 4.0 yang boleh dilaksanakan dalam operasi mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Pelaksanaan Industri 4.0 bukan sahaja bermanfaat kepada para  pembekal automotif, malah memberi impak yang besar kepada agenda transformasi digital negara.

Program itu boleh menjadi laluan pantas kepada industri Malaysia, dari kecil hingga besar, kerana ia menyediakan dana serta bimbingan. Peranan PERODUA adalah untuk sentiasa membangunkan ekosistem automotif dan program ini merupakan satu lagi contoh komitmen kami ke arah objektif tersebut.

Fasa pertama perkongsian strategik MIDA-PERODUA telah melahirkan tiga rakan kongsi niaga PERODUA yang berpotensi iaitu LSF Technology Sdn.Bhd., J.K. Wire Harness Sdn. Bhd. dan Autoliv Hirotako Safety Sdn. Bhd.

Syarikat berkenaan telah diberikan Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF) sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk membantu syarikat tempatan memasuki rantaian bekalan global.

Di bawah program seumpama ini, MIDA dan PERODUA telah mengenal pasti lima vendor baharu yang telah menunjukkan potensi dan berpeluang untuk berkembang. Ini termasuklah Armstrong Auto Parts Sdn. Bhd., Ingress Aoi Technologies Sdn. Bhd., Namicoh Suria Sdn. Bhd., P.D. Kawamura Kako Manufacturing Sdn. Bhd. dan Kumpulan Jebco (M) Sdn. Bhd.

Google ads
Back to top button