OLIVER SOLVERG DIGUGURKAN DARIPADA PASUKAN HYUNDAI MOTORSPORT BAGI MUSIM WRC 2023
Disebalik kejayaan pemandu muda pasukan Toyota Kalle Rovanpera yang cukup cemerlang musim ini, seorang lagi bintang muda Oliver Solberg yang memandu untuk pasukan Hyundai Motorsport, telah sahih bakal digugurkan daripada senarai pemandu bagi musim FIA World Rally Championship 2023 kelak.
Pemandu muda pasukan Hyundai Motorsport dari Sweden yang berusia 21 tahun ini sebetulnya hanya memandu secara bergilir / separuh masa dengan berkongsi jentera Hyundai i20 Rally1 bersama seorang lagi pemandu Dani Sordo. Pencapaian Oliver Solberg musim ini dilihat sederhana apabila hanya mencatat tempat keenam terbaik sebanyak tiga kali sahaja daripada sembilan perlumbaan yang disertai.
Pencapaian terbaik anak kepada lagenda rali Petter Solberg ini adalah tempat keempat keseluruhan sewaktu perlumbaan di Ypres Rally Belgium sebelum ini. Ketika perlumbaan terakhir di Repco Rally New Zealand, Oliver Solberg berada di tempat kelima keseluruhan walau pun jentera Hyundai i20 Rally1 beliau mengalami sedikit masalah.
Dalam satu kenyataan, kedua pihak bersetuju bahawa kontrak ini tidak akan disambung dan ianya berikutan daripada prestasi keseluruhan pasukan sepanjang musim 2022 ini yang kurang memberangsangkan.
Berikutan daripada itu, pasukan Hyundai Motorsport turut menyatakan bahawa mereka bercadang untuk mendapatkan pelumba yang lebih berpengalaman bagi mengharungi musim 2023 yang lebih mencabar.
Sementara itu, pelumba senior pasukan Hyundai Motorsport Thierry Neuville turut memberikan beberapa nama cadangan yang mungkin boleh diisi menggantikan kerusi pemandu yang kosong. Diantara nama yang disebut adalah Andreas Mikkelsen, Elfyn Evans, Dani Sordo dan juga Hayden Paddon.
Untuk rekod Andreas Mikkelsen sebelum ini pernah memandu untuk pasukan Hyundai Motorsport pada tahun 2018 – 2019 dengan keputusan terbaik keempat keseluruhan pada tahun 2019. Elfyn Evans pula khabarnya masih lagi mempunyai kontrak bersama pasukan Toyota hingga akhir musim hadapan.
Manakala Dani Sordo yang turut memandu secara bergilir musim ini khabarnya hanya mahu kekal seperti sedia ada, berlumba secara separuh masa sahaja. Hayden Paddon juga tampak merupakan pilihan yang ideal, memandangkan beliau juga pernah beraksi di pentas WRC sebelum ini. Malah, ketika ini Hayden Paddon turut dibawah pasukan Hyundai New Zealand. Ketika aksi Rally New Zealand, beliau mempamerkan aksi yang cukup memberangksangkan apabila muncul juara WRC2.
Apa pun, kita tunggu pengumuman rasmi daripada pasukan Hyundai kelak.