Motosikal

HARLEY-DAVIDSON NIGHTSTER 2022 KINI DI MALAYSIA. 89HP, BERMULA RM94K

Harley-Davidson Malaysia semalam melancarkan model terkini dalam keluarga Sportster menerusi Harley-Davidson Nightster 2022 pada acara Art of Speed 2022 yang berlangsung di MAEPS.

Nightster 2022 menggunakan khidmat enjin V-Twin Revolution Max 975T bersesaran 975cc yang mampu menjana kuasa 89hp pada 7,500rpm dan tork sehingga 95Nm pada 5,750rpm.

Harley-Davidson memberitahu enjin DOHC dengan sistem pemasaan injap berubah-ubah itu telah ditala untuk menawarkan prestasi terbaik sepanjang julat putaran enjin rendah dan pertengahan.

Jentera berkenaan menggunakan binaan casis yang sama seperti model Sportster S. Ia kemudian dipasang dengan sistem suspensi daripada jenis fork hadapan Showa DBV (Dual Bending Valve) dan penyerap hentakan berkembar dengan tetapan pra-muatan untuk roda belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada rotor tunggal bersaiz 320mm di depan dan 260mm di belakang, bersama angkup brek empat omboh di depan dan omboh tunggal di belakang. Komponen itu turut dibantu oleh ciri keselamatan seperti ABS dua saluran, kawalan cengkaman dan drag-torque slip control.

Nightster 2022 hadir dengan saiz rim 19 inci di depan (tayar 100/90), manakala rim belakang pula bersaiz 16 inci (tayar 150/80).

Penunggang boleh mendapatkan segala informasi penting menerusi paparan skrin LCD kecil. Anda juga boleh menetapkan sehingga tiga mod tunggangan iaitu Road, Sport dan Rain. Kesemua mod tunggangan iti akan mengawal aspek seperti agihan kuasa, maklum balas pendikit, brek enjin, ABS serta kawalan cengkaman.

Jangan tertipu, tangki yang anda lihat itu bukanlah untuk mengisi bahan api, tetapi ia ‘menyimpan’ kotak udara. Manakala tangki bahan api berkapasiti 11.7 liter boleh diakses melalui bahagian bawah pelana.

Harley-Davidson Nightster 2022 ditawarkan pada harga bermula RM93,900 seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button