Artikel Pilihan

FEDEX DITUDUH PALSUKAN REKOD PERBATUAN VAN PENGHANTARAN MEREKA

Sebagai sebuah syarikat penghantaran terkemuka di dunia, FedEx memiliki ratusan van dalam inventori mereka sebagai medium penghantaran barangan kepada pelanggan. Apabila sampai waktunya, van ini akan dijual dan dijadikan kenderaan yang laun seperti food truck disebabkan rekaannya yang berpetak menjadikannya amat sesuai untuk dijadikan dapur bergerak

Namun hari ini FedEx berhadapan dengan saman terbesar dalam sejarah Amerika yang dikemukakan oleh pembeli van mereka dengan dakwaan van yang dijual oleh FedEx telah diubah meter perjalanan dengan tujuan mengaut keuntungan yang besar

Plaintif mendakwa FedEx telah menggantikan odometer di dalam van yang dijual oleh mereka dengan meter baru sepenuhnya dengan jarak perbatuan 0 kilometer, menggunakan van tersebut untuk seketika sebelum menjualnya kepada pembeli yang berminat. Pembeli pula terpedaya membeli van berkenaan kerana menyangkakan van tersebut masih baru dan dijual dengan murah

Sesetengah plaintif mendakwa bacaan sebenar odometer van penghantaran FedEx yang dijual berkemungkinan besar adalah 4 kali ganda daripada yang dipaparkan menyebabkan pemilik baru berhadapan dengan kerosakan teknikal dan menyebabkan kerugian berpanjangan. Dalam sesetengah keadaan kerosakan ini menyebabkan pemilik baru gagal dalam perniagaan food truck mereka

Menurut laman berita KTNV Las Vegas, praktis menukar meter ini telah dilakukan semenjak dari tahun 2017 lagi. Tom Layton merupakan salah seorang penjual kenderaan terpakai telah membeli van FedEx dan menjualnya kepada pembeli berhadapan dengan masalah ini.

Apabila dia menjual van FedEx, pembeli baru telah melakukan pemeriksaan komputer mendapati van yang dibeli melalui Tom mempunyai jarak perbatuan sekitar 643,000km sedangkan bacaan odometer baru sahaja mencecah 290,000km. Bagi menjaga reputasi bisnes menjual kereta terpakai miliknya, Tom telah menfailkan satu tuntutan saman pada FedEx secara berasingan

Secara tradisinya FedEx tidak menjual van atau trak penghantaran milik mereka dan melupuskannya apabila kenderaan ini mencapai perbatuan yang terlalu tinggi. Hanya pada tahun 2011 sahaja baru FedEx dapati menjual kenderaan ini lebih menguntungkan

Selain FedEx, turut disaman oleh pengguna ialah Holman Fleet Leasing iaitu syarikat yang menguruskan kenderaan FedEx turut diheret sama ke mahkamah dengan dakwaan sengaja memalsukan rekod perbatuan dengan tujuan menjual kenderaan tersebut dengan nilai lebih tinggi dan mendapat keuntungan.

Antara kandungan writ saman menyatakan Holman dan FedEx bekerjasama dalam memalsukan rekod ini, menjual kenderaan FedEx dengan nilai tinggi dan membahagikan keuntungan tersebut sesama mereka. Tidak menjadi kesalahan untuk menjual kenderaan yang tidak memaparkan jarak perjalanan dengan betul dan menggantikan meter baru mengikut undang-undang Amerika

Tapi penjual wajib menyatakan kenderaan tersebut tidak memiliki jarak perjalanan yang tepat kepada pembeli, satu aspek yang gagal dibuat oleh Holman dan juga FedEx dalam usaha memanipulasikan bakal pembeli. FedEx menafikan dakwaan tersebut dan akan melawan kes tersebut di mahkamah

Google ads
Back to top button