Buletin

LLM MAHU KEMUDAHAN PENGGUNA MOTOSIKAL DINAIK TARAF

Syarikat pemegang konsesi diminta supaya menaik taraf laluan motosikal di lebuh raya masing-masing, agar ia juga sesuai digunakan oleh motosikal berkuasa tinggi, dalam membantu usaha mengurangkan risiko kemalangan.

Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perkara itu perlu diberi keutamaan bagi mengurangkan risiko kemalangan.

“Saya dapati ramai pemilik motosikal berkuasa tinggi menggunakan lebuh raya dan mereka tidak mendapat kemudahan sewajarnya.

“Sebagai contoh, laluan masuk menghala tol Pulau Pinang dan tol Ipoh (Perak), dilihat tidak sesuai untuk digunakan oleh motosikal berkuasa tinggi. Ini secara tidak langsung menyebabkan kemungkinan berlaku kemalangan di kawasan berkenaan sangat besar.

“Saya bersama Ketua Pengarah LLM (Ir Sazali Harun) akan panggil dan mengadakan sesi libat urus dengan syarikat konsesi untuk kita beri perhatian kerana kita kenal pasti ia sebagai penyumbang kemalangan serta jumlah kematian paling besar” katanya.

Tambah beliau, di sepanjang lebuh raya seliaan LLM dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini, lebih 10,000 kemalangan jalan raya dilaporkan, dengan kemalangan maut membabitkan motosikal adalah tinggi iaitu kira-kira 200 kes.

Selain itu, syarikat konsesi lebuh raya juga perlu membuat penambahbaikan laluan motosikal dengan mengambil kira kemalangan akibat cuaca buruk, termasuk risiko penunggang motosikal dilanggar ketika berhenti di bawah jejambat untuk berteduh ketika hujan. – Buletin TV3

Google ads
Back to top button