Buletin

FERRARI AKAN TAMATKAN BEKALAN ENJIN KEPADA MASERATI BERMULA 2021 ATAU 2022

Laporan perolehan suku pertama Ferrari baru-baru ini mendedahkan bahawa jenama mewah itu tidak akan lagi membekalkan enjin kepada Maserati. 

Jika anda masih ingat, Ferrari dan Maserati sebelum ini berada di bawah payung FCA sehingga tahun 2015 apabila Ferrari keluar dari FCA sebagai sebahagian daripada IPO. 

Biarpun begitu, Ferrari dilapor terus membina enjin V6 dn V8 untuk dipasang pada model-model Maserati termasuklah Ghibli, Quattroporte, Levante, GranTurismo dan GranCabrio. 

“Sebagaimana yang anda tahu, kami mempunyai kontrak. Maserati juga ada mengumumkan bahawa mereka tidak bercadang untuk memperbaharuinya.

“Jadi, kami tidak lagi akan membekalkan enjin kepada Maserati. Jika dilihat daripada perspektif kami, ini merupakan satu perkembangan yang baik.

“Sebabnya, kami boleh mengalihkan tenaga kerja yang sebelum ini fokus ke atas enjin kepada perniagaan kereta,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Ferrari, Louis Camilleri. 

Ferrari dijadual menghentikan penghantaran enjin sama ada pada tahun 2021 atau 2022. Selepas itu, Ferrari juga tidak berminat untuk membekalkan enjin kepada mana-mana syarikat lain. 

Maserati menggunakan enjin Ferrari sejak tahun 2002 dan kerjasama itu bertahan sehingga kini. Buat masa sekarang, Maserati menggunakan ejin 3.0 liter V6 3.8 liter twin turbo V8 dan V8 aspirasi biasa 4.7 liter daripada Ferrari. 

Masih tidak dapat dipastikan dari mana Maserati akan mendapatkan ejin baharunya selepas kontraknya dengan Ferrari tamat. Ia mungkin membangunkan sendiri enjin atau membeli daripada pembekal lain. Sama ada dalam FCA atau sebaliknya. 

Anda rasa enjin apa Maserati akan guna selepas ini? 

Google ads
Back to top button