" "
Buletin

KEHILANGAN “KEPALA” YAMAHA Y15ZR SEMAKIN MENJADI-JADI

Minggu lalu, kami terlihat satu posting di laman sosial mengenai sebuah motosikal Yamaha Y15ZR terbaru hilang bahagian “kepala”. Seperti yang diketahui, Hong Leong Yamaha Motors baru sahaja melancarkan model facelift Y15ZR bulan lepas dengan pembaharuan di bahagian lampu utama LED, meter digital dan juga suis kawalan baru.

Pendek kata, bahagian kepala Y15ZR menerima perubahan total beranding model lama.

Meskipun banyak bengkel sudah menawarkan perkhidmatan menyalin model V1 kepada kepala V2, namun perkara yang dijangkakan tetap juga berlaku di mana kecurian kepala V2.

Berbanding mencuri sebuah motosikal yang memakan masa lama dan berisiko, pencuri alaf baru ini nampaknya bertindak melarikan bahagian kepala sahaja.

Dan beberapa hari lepas, berlaku pula kes kedua yang mana didakwa kehilangan di kawasan Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Modus operandinya sama – melarikan bahagian kepala sahaja dan meninggalkan motosikal tersebut tanpa lampu, meter dan bar hendal.

Adakah ia risiko terbaru Y15ZR V2?

Malangnya, kami boleh katakan – YA. Ia lebih mudah dibuka berbanding melarikan sebuah motosikal sekaligus. Apa lagi di kawasan parkir seperti rumah flat, apartmen dan kondominium, pusat beli belah yang kurang kawalan keselamatan serta parkir yang terdedah.

Ia sama seperti kes kecurian brek Brembo yang berleluasa di kalangan motosikal berkuasa tinggi yang cukup berisiko. Malangnya inilah realiti di Malaysia.

Setakat hari ini, kami belum menemui apa-apa produk yang dijual untuk “mengunci” bahagian kepala motosikal ini.

Kami rasa, pemilik perlu membuat inisiatif sendiri untuk mencari jalan seperti menggunakan nut khas di bahagian bar hendal (seperti lock angkup Brembo) atau apa juga cara seperti memasang penggera tambahan.

Nampaknya pad lock sahaja tak mencukupi.

atau

Tukar saja kepala Modenas Kriss. Selesai masalah!

GALERI

Google ads
Back to top button