Buletin

FIAT MULTIPLA ADA VERSI EV DI CHINA

Fiat Multipla.

Ya, kereta yang semua orang benci disebabkan rupa parasnya yang hodoh, namun sesetengah pihak menggemarinya disebabkan rekaan kabin yang agak luas untuk kereta berdimensi kompak itu.

Tidak ramai yang tahu bahawa Fiat Multipla sebenarnya turut ditawarkan di pasaran China, di mana ia dipasang oleh Zotye Auto.

Mutipla versi China ini muncul pada lewat 2008, dan apabila kereta asal dihentikan produksi pada lewat 2010, Zotye telah membeli barisan produksi dari Fiat dan mula memasang Multipla di China.

Menariknya, Multipla yang diberikan nama M300 Langyue ini turut ditawarkan dalam versi elektrik (M300EV), dan Fiat sendiri tidak pernah menawarkan Multipla EV kepada pasaran Eropah.

M300EV dijana dengan motor elektrik pacuan roda depan yang mampu menghasilkan 80 hp dan 250 Nm, namun apa yang lebih mengkagumkan adalah teknologi penukaran bateri yang telah pun wujud pada ketika itu.

Bateri berkapasiti 35.2 kW itu mampu membenarkan jarak operasi sejauh 160-200 km untuk sekali cas, dan proses penukaran empat pek bateri seberat 65 kg itu boleh dilakukan dalam tempoh lima minit sahaja dengan bantuan pakar dan mesin.

Angka jualan Multipla China ini tidak begitu memberangsangkan, sebanyak 25,036 unit telah dijual antara tahun 2010 hingga 2013, dan pengeluar Zotye itu sendiri telah pun bankrap pada tahun lepas.

Sumber: Carscoops

Google ads
Back to top button