
FORD CATAT JUALAN TERBAIK DI MALAYSIA
Ford Motor Company hari ini mengumumkan bahawa jualan runcit di Malaysia telah melonjak sebanyak 50 peratus berbanding tahun sebelumnya menjadi 10,660 unit pada tahun 2013.
Ia merupakan prestasi terbaik Ford dalam tempoh 20 tahun, sekali gus menjadikannya sebagai salah satu jenama automotif yang paling pantas berkembang di negara ini.
Tahun cemerlang Ford ini dipacu oleh populariti berterusan Ford Ranger, Focus, Kuga dan Fiesta baharu. Trak pikap Ranger ialah model Ford paling laris di Malaysia pada tahun 2013 dengan jualan keseluruhan meningkat sehingga 164 peratus dari tahun ke tahun kepada 5,761 unit.
Ford Focus juga menunjukkan prestasi tahunan yang memberangsangkan pada 2013 dengan jualan keseluruhan meningkat sebanyak 151 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 1,605 unit.
Ford Fiesta pula menamatkan tahun lalu dengan jualan runcit keseluruhan mencecah 2,510 unit. Ia turut diberi lonjakan pada suku keempat tahun 2013 menerusi pelancaran model yang telah ditambah baik dan menampilkan enjin global 1.5L Ti-VCT Ford.
Fiesta baharu yang menampilkan enjin 1.0L EcoBoost bakal dilancarkan pada suku pertama tahun ini. Ia pasti menambah keterujaan kepada model popular ini yang juga merupakan peneraju dalam segmen B.
Rekod tahunan Ford yang memberangsangkan ini turut disokong oleh pengenalan model Kuga serba baharu yang menggunakan enjin EcoBoost 1.6L. Pada masa yang sama, Ford akan terus menambah jumlah bilik pamerannya di Malaysia pada tahun ini bersama pelancaran SUV urban EcoSport serba baharu.
Dalam perkembangan berasingan, Ford dijadual memulakan program pemasangan tempatan model Transit pada suku pertama tahun ini. Pengenalan model Transit akan membolehkan Ford untuk memasuki satu lagi segmen kenderaan baharu di pasaran tempatan.
“Kami akan terus memperkenalkan lebih banyak kenderaan yang menawarkan kombinasi teknologi terbaik dalam kelasnya dari segi teknologi pintar, keselamatan, kualiti, prestasi dan bernilai untuk wang,” kata Pengarah Urusan, Malaysia dan Pasaran Membangun Asia Pasifik, Ford Motor Company, David Westerman.











