
FORD F-150 LIGHTNING: REVOLUSI ELEKTRIK TERGENDALA, MASIH ADA HARAPAN?
Ford pada mulanya memperkenalkan F-150 Lightning dengan harapan besar untuk mengubah landskap trak elektrik Amerika.
Syarikat itu, bersama pemain industri lain, menjangkakan lonjakan jualan yang memberangsangkan, malah Ford pernah merancang untuk menjual sehingga 150,000 unit Lightning setahun.
Namun realiti agak berbeza. Tahun lalu, hanya 33,000 trak elektrik itu berjaya dijual, kemungkinan besar pada harga yang merugikan syarikat. Tidak hairanlah jika ada eksekutif Ford mula mempertimbangkan untuk menghentikan projek ini, menurut laporan The Wall Street Journal.
Tiada keputusan muktamad lagi, kata sumber WSJ. Keputusan ini timbul hanya seminggu selepas Ford memulakan kempen mempromosikan kebolehan Lightning untuk mengecas rumah dan mengembalikan tenaga ke grid apabila tarif elektrik lebih murah.

Malah, Lightning sebelum ini dijadikan “loss-leader” mahal oleh Ford, dan kini dengan jualan EV yang menurun susulan insentif cukai elektrik ditarik balik, mengekalkannya semakin sukar untuk diterima secara ekonomi.
Salah satu faktor yang mempengaruhi ialah perubahan peraturan automotif di Amerika Syarikat. Pada era sebelumnya, syarikat kereta perlu mencapai purata ekonomi bahan api tertentu; lebih banyak kereta gas yang dijual, lebih banyak EV yang perlu dikeluarkan.
Ford, pengeluar F-150 berkuasa petrol, menggunakan Lightning untuk menyeimbangkan kiraan. Tetapi peraturan itu kini longgar, ditambah tarif yang meningkat kos pengeluaran. Dengan permintaan pengguna yang tidak seperti dijangka, keuntungan Lightning sukar dijamin.
Walaupun begitu, Ford menegaskan Lightning masih trak elektrik paling laris di Amerika, menewaskan pesaing seperti Tesla Cybertruck, Chevy Silverado EV, GMC, Hummer dan Rivian.

Syarikat berkata, mereka fokus pada pengeluaran F-150 petrol dan hibrid selepas gangguan bekalan aluminium.
Cabaran utama Lightning bukan hanya tentang jualan. Ia tentang menyatukan prestasi, kapasiti, jarak pemanduan dan harga yang mampu diterima pembeli trak saiz penuh.
Sehingga teknologi lebih murah dan matang, ramai pengguna enggan membayar premium. Ini menimbulkan dilema bagi Ford, GM dan pengeluar lain – potensi trak elektrik amat besar, tetapi produk sedia ada masih merugikan.
Soalannya kini: adakah Ford akan terus menanggung kerugian demi pengalaman dan dominasi teknologi, atau menghentikan projek Lightning dan kembali dengan strategi baharu beberapa tahun lagi? Jawapannya masih belum jelas.






