
XPENG MEMASUKI ERA BAHARU ‘PHYSICAL AI’, PERKENAL MODEL VLA 2.0 DAN BARISAN PRODUK PINTAR
XPENG mengumumkan kemasukan rasmi ke era baharu ‘Physical AI’ dengan pelancaran model AI berskala besar VLA 2.0 serta tiga produk utama – Robotaxi, robot humanoid generasi baharu IRON, dan sistem mobiliti udara ARIDGE.
Pengerusi dan CEO XPENG, He Xiaopeng, berkata syarikat kini beralih daripada sekadar peneroka mobiliti masa depan kepada sebuah “syarikat kecerdasan fizikal global”, hasil pembangunan sistem AI fizikal lengkap meliputi cip, perisian, model AI dan perkakasan pintar.
VLA 2.0: Model Fizikal Generasi Baharu
Model VLA 2.0 diperkenalkan sebagai asas kepada semua aplikasi AI fizikal XPENG. Ia menggunakan pendekatan baharu yang menterjemahkan isyarat visual terus kepada tindakan, menjadikannya lebih pantas dan tepat dalam membuat keputusan.
Dilatih dengan hampir 100 juta klip video pemanduan sebenar, VLA 2.0 mampu mengendalikan situasi kompleks tanpa anotasi manual.
Teknologi ini akan digunakan dalam kenderaan XPENG bermula suku pertama 2026, manakala Volkswagen diumumkan sebagai rakan pelancaran pertama untuk model tersebut.

Robotaxi dan Kenderaan ‘Robo’
XPENG turut mendedahkan Robotaxi generasi seterusnya, direka khusus untuk operasi tanpa pemandu.
Ia dilengkapi empat cip Turing AI dengan kuasa pemprosesan sehingga 3000 TOPS, menggunakan sistem visi sepenuhnya tanpa lidar dan peta ketepatan tinggi.
Selain itu, syarikat merancang melancarkan tiga model Robotaxi pada 2026 dan memulakan operasi percubaan.
XPENG juga akan memperkenalkan varian pintar “Robo”, kenderaan L4 dengan perkakasan sama seperti Robotaxi, tetapi untuk pemilikan persendirian.

Humanoid IRON Generasi Baharu
Robot humanoid IRON generasi baharu tampil dengan bentuk tubuh yang sangat menyerupai manusia, 82 darjah kebebasan pergerakan, tulang belakang bionik serta bateri keadaan-pepejal untuk keselamatan dan ringan.
Dengan 3 cip Turing AI dan model fizikal XPENG, robot ini mampu berinteraksi, berjalan dan membuat keputusan autonomi.
Menurutnya, XPENG menyasar pengeluaran besar-besaran robot humanoid pada akhir 2026.
Mobiliti Udara: ARIDGE

Bukan itu sahaja, XPENG turut memperkenalkan ARIDGE dengan dua sistem mobiliti udara: model enam tempat duduk A868 berkonsep tilt-rotor yang mampu mencapai jarak penerbangan sehingga 500 km.
Sementara, “Land Aircraft Carrier” pula untuk kegunaan jarak dekat yang kini menerima lebih 7,000 tempahan global.
Kilangan pengeluaran ARIDGE telah memulakan operasi percubaan dengan kapasiti sehingga 10,000 unit setahun.
XPENG menyatakan komitmen untuk memperluas ekosistem Physical AI secara global, mempercepatkan aplikasi AI dalam automotif, robotik dan mobiliti udara, dengan fokus pada penyelesaian teknologi masa depan yang boleh diakses orang ramai.









