PEMAIN PERMAINAN VIDEO PERLUMBAAN IALAH PEMANDU YANG TERUK – KAJIAN
Jika anda peminat kereta dan lahir selepas tahun 1980-an, besar kemungkinan anda juga gemarkan permainan video serta pernah bermain permainan simulasi seperti Gran Turismo, Forza, Need for Speed, Project Gotham Racing dan sebagainya.
Namun, satu kajian yang dijalankan di United Kingdom baru-baru ini mendapati bermain permainan seperti itu boleh menjadikan anda seorang pemandu yang teruk dalam dunia sebenar.
Satu kaji selidik yang melibatkan sekitar 1,250 pemandu mendapati mereka yang bermain permainan video perlumbaan lebih cenderung terlibat dalam kemalangan atau didenda kerana memandu secara berbahaya.
Ini berbeza dengan mereka yang tidak terdedah dengan permainan video berkenaan. Kaji selidik sama turut mendedahkan bahawa lebih satu perlima mengakui menggunakan teknik memandu yang dipelajari dalam permainan video ke dalam dunia sebenar.
“Mereka mengaku mencuba gaya memandu yang berbahaya daripada permainan video.
Sekali gus membahayakan nyawa sendiri dan orang lain. Tidak ada sebarang justifikasi untuk mana-mana pemandu mencuba corak pemanduan yang berbahaya ini,” kata jurucakap pertubuhan yang bermatlamat menambah baik keselamatan jalan raya, Brake.
Kaji selidik tersebut dijalankan oleh pihak Censuswide dengan kerjasama penerbitan automotif berpengaruh UK, Carwow. Kajian itu juga mendapati 26 peratus responden pernah didakwa sebanyak dua kali atau lebih kerana memandu laju.
Malah secara purata, pemain permainan video didapati 1.3 kali lebih banyak terlibat dalam kemalangan berbanding hanya 0.6 kali oleh pemandu lain. Dapatan itu nyata kontras dengan satu kajian yang dilakukan oleh Universiti Rochester pada tahun 2010 yang mendakwa permainan video boleh menambah baik maklum balas seseorang secara amnya.
Biarpun begitu, kajian ini mencetuskan dapatan yang boleh dipersoalkan. Simulator perlumbaan seperti Gran Turismo dan Foza menawarkan pengetahuan dari segi teori dan konsep yang boleh diaplikasikan ke dalam pemanduan sebenar, sama ada di litar lumba mahupun di atas jalan raya biasa.
Pengarah Penyelidikan dan Polis dari IAM RoadSmart, satu lagi organisasi yang bermatlamat meningkatkan keselamatan jalan raya, Neil Greig bagaimanapun menegaskan realiti maya tidak akan dapat menggantikan realiti sebenar kerana ia tidak dapat meniru rasa sakit atau derita akibat kemalangan.
Bukan itu sahaja, permainan video juga boleh menyemai rasa yakin yang salah ke dalam diri individu yang tidak pernah belajar memandu dengan betul.