Buletin

FORD & JOSE CUERVO HASILKAN ALAT GANTI DARIPADA AGAVE

Ford Motor Company kini bekerjasama dengan pengeluar tequila, Jose Cuervo® untuk meneroka penggunaan produk hiliran tanaman agave.

Ford-Jose-Cuervo-agave-2016-mekanika (1)

Kedua-dua buah syarikat itu sedang menguji bioplastik untuk kegunaan komponen dalaman dan luaran kenderaan seperti gulungan kabel pendawaian, unit HVAC dan bekas penyimpanan barang.

Penilaian awal menunjukkan bahawa material ini cukup meyakinkan berikutan aspek ketahanan dan kualiti estetiknya. Kejayaan dalam membangunkan komposit mapan seperti ini mampu mengurangkan berat kenderaan dan penggunaan bahan api. Pada masa yang sama mengurangkan penggunaan bahan petrokimia dan impak produksi kenderaan ke atas alam sekitar.

Ford-Jose-Cuervo-agave-2016-mekanika (6)

Kitaran tanaman agave melibatkan proses sekurang-kurangnya tujuh tahun. Sebaik sahaja dituai, bahagian utama tumbuhan ini akan dipanggang sebelum dikisar dan jusnya diekstrak bagi tujuan penyulingan.

Jose Cuervo menggunakan sebahagian daripada baki gentian agave sebagai baja di ladang. Manakala artis tempatan mengambil sisa-sisanya untuk menghasilkan kraftangan dan kertas agave.

Ford-Jose-Cuervo-agave-2016-mekanika (9)

Kini, sebagai sebahagian daripada pelan kelestarian Jose Cuervo yang semakin berkembang, pengeluar tequila itu bekerjasama dengan Ford untuk membangunkan satu cara baru memanfaat sisa gentian tersebut.

Kolaborasi dengan Jose Cuervo merupakan contoh terbaru pendekatan inovatif Ford ke atas produk dan alam sekitar menerusi penggunaan biomaterial. Ford memulakan penyelidikan mengenai penggunaan material-material mapan di dalam kenderaannya pada tahun 2000.

Ford-Jose-Cuervo-agave-2016-mekanika (2)

Hari ini, pengeluar itu menggunakan beberapa material berasaskan bio ke dalam kenderaannya. Ford juga telah menguji lebih banyak aplikasi masa depan yang merangkumi alga, kulit tomato dan karbon dioksida.

Ford menggunakan beberapa material mapan termasuklah:

Ford-Jose-Cuervo-agave-2016-mekanika (5)

  • Kenaf, satu tumbuhan tropikal dalam keluarga kapas. Ia digunakan dalam kemasan pintu Ford Escape
  • Fabrik REPREVE, diperbuat daripada botol plastik kitar semula, memanfaatkan lebih lima juta botol plastik di tempat pembuangan sampah setiap tahun. Baru-baru ini, Ford memperkenalkan REPREVE pada model F-150
  • Kapas terpakai daripada denim dan kemeja-T digunakan sebagai pelapik dalaman dan penyerap bunyi pada kebanyakan kenderaan Ford.
  • Karpet nilon terpakai, EcoLon digunakan sebagai penutup kepala silinder Ford Escape, Fusion, Mustang dan F-150
  • Botol plastik kitar semula ditukar menjadi karpet lantai, pelapik roda dan pelindung pada beberapa model kenderaan seperti Ford Transit serta C-MAX
  • Tayar terpakai digunakan pada pengedap dan gasket
  • Sekam padi digunakan untuk menguatkan plastik pada gulungan kabel elektrikal Ford F-150
  • Busa berasaskan kepada kacang soya digunakan sebagai kusyen tempat duduk, penyandar dan perehat kepala pada rangkaian model Ford di pasaran Amerika Utara
  • Jerami digunakan dalam Ford Flex untuk mengukuhkan ruang-ruang penyimpanan barang
  • Gentian pokok selulosa digunakan pada perehat tangan model Lincoln MKX. Ia menggantikan plastik isian kaca. Material yang pertama dalam industri ini adalah 10 peratus lebih ringan, dapat dihasilkan 30 peratus lebih pantas dan dapat mengurangkan emisi karbon

Ford-Jose-Cuervo-agave-2016-mekanika (8)

Menurut Program Alam Sekitar Bangsa-bangsa Bersatu, lima juta tan metrik bahan buangan biojisim pertanian dihasilkan setiap tahun. Bekalan produk sampingan pertanian sememangnya sangat banyak dan jarang digunakan sepenuhnya.

Sedangkan material-material ini secara relatifnya murah dan boleh membantu pengeluar menukar penggunaan gentian kaca serta talkum untuk menghasilkan produk yang lebih mapan dan ringan.

Google ads
Back to top button