Buletin

FORD KEMBALI KE LE MANS DENGAN FORD GT

Ford baru-baru  ini mengumumkan bahawa ia akan kembali bersaing dalam perlumbaan kereta paling berprestij di dunia, 24 Hours of Le Mans tahun depan dengan kereta lumba Ford GT baharu.

Ford-GT-Le-Mans-Mekanika (7)

Perlumbaan 24 Hours of Le Mans disifatkan sebagai Grand Prix berkaitan aspek ketahanan dan kecekapan. Diperkenalkan di litar terkenal Le Mans, Perancis Ford GT bakal bersaing dalam kelas Le Mans GT Endurance untuk pasukan dan pemandu profesional (LM GTE Pro).

Jentera lumba itu dibina berasaskan kepada supercar Ford GT serba baharu yang diperkenalkan pada Januari lalu. Kereta produksi dan jentera lumba itu akan mula ditawarkan pada tahun 2016.

Ford-GT-Le-Mans-Mekanika (3)

Ia bagi menandakan ulang tahun kemenangan kereta lumba Ford GT menduduki tempat 1-2-3 pada perlumbaan 24 Hours of Le Mans tahun 1966. Ford mengulangi kemenangan sama di Le Mans pada tahun 1967, 1968 dan 1969.

“Ketika GT40 berlumba di Le Mans pada tahun 1960-an, Henry Ford II mahu membuktikan bahawa Ford mampu mengalahkan pengeluar jentera perlumbaan tahan lasak yang paling lagenda,” kata Pengerusi Eksekutif Ford Motor Company, Bill Ford.

Jentera lumba Ford GT juga menyertai jadual penuh Kejohanan FIA World Endurance dan TUDOR United SportsCar 2016. Ia akan memulakan perlumbaan pertama pada Januari 2016 dalam pertandingan Rolex 24 At Daytona, Florida.

Ford-GT-Le-Mans-Mekanika (5)

Dua buah pasukan Ford akan dikendalikan oleh Chip Ganassi Racing bersama Felix Sabates (CGRFS). Kedua-dua pasukan itu mahu bersaing dengan empat buah kereta di Le Mans. Para pemandunya akan diumumkan kelak.

Ford GT serba baharu ialah produk penting buat pasukan Ford Performance, sebuah divisyen khas untuk menghasilkan inovasi menerusi prestasi. Dijangka mengeluarkan lebih 12 kenderaan berprestasi tinggi menjelang tahun 2020, Ford Performance memanfaatkan kepakarannya dalam dunia perlumbaan untuk mempercepatkan inovasi ke atas model-model prestasi dan alat ganti tertentu.

Ini bagi mengadaptasikan teknologi terkini dengan lebih pantas yang sememangnya boleh digunakan kepada barisan kenderaan Ford sepenuhnya.

Ford-GT-Le-Mans-Mekanika (6)

Segmen prestasi merupakan satu cabang perniagaan yang kian berkembang buat Ford. Ini kerana syarikat tahu bahawa pelanggan mahukan kenderaan yang mampu menawarkan penjimatan bahan api mengagumkan, memiliki teknologi terkini dan pengalaman pemanduan terbaik. Barisan model Ford Performance termasuklah Ford GT, Focus RS, F-150 Raptor, Shelby GT350 dan Shelby GT350R, Focus ST dan Fiesta ST.

Kereta lumba Ford GT menampilkan sejumlah inovasi.  Ini termasuklah aspek aerodinamik termaju yang menawarkan tahap downforce luar biasa untuk meningkatkan kestabilan dan meminimumkan seretan. Di samping komposit ringan tercanggih yang menggunakan gentian karbon untuk penghasilan chasis yang sangat kukuh tetapi ringan, serta kuasa dan kecekapan teknologi  EcoBoost.

Ford-GT-Le-Mans-Mekanika (1)

Turut menyertai Ford dalam projek ini ialah Multimatic Motorsports, Roush Yates Engines, Castrol, Michelin, Forza Motorsport, Sparco, Brembo dan CGRFS. Kereta lumba ini telah menjalani proses reka bentuk dan ujian yang ekstensif oleh Ford dan Multimatic, manakala CGRFS menawarkan input untuk pembangunannya. Roush Yates pula menyokong pembangunan enjin 3.5 liter EcoBoost V6 – enjin produksi EcoBoost paling berkuasa setakat ini.

Enjin 3.5 liter EcoBoost V6 melakukan debut pada perlumbaan Kejohanan TUDOR United SportsCar pada tahun 2014. Sejak itu, Ford dan CGRFS telah mencatat kemenangan keseluruhan yang signifikan dalam perlumbaan 12 Hours of Sebring dan Rolex 24 At Daytona. Selain kejayaan hebat dalam perlumbaan kereta sports, pasukan Ganassi turut mencapai kejayaan utama dalam perlumbaan Daytona 500, Brickyard 400 dan Indianapolis 500.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button