Buletin

FORD KUGA 2019, LEGASI SUV KEGEMARAN DI EROPAH

Pemerhatian terhadap industri automotif memang menarik terutama sekali yang melibatkan citarasa pengguna berdasarkan benua atau negara.

Ada yang laku di barat tetapi kurang mendapat sambutan di timur dan begitu juga sebaliknya.

Usahkan berbeza benua, citarasa negara berjiran pun tidak sama contohnya di kalangan negara ASEAN.

Di negara kita sekarang ini Proton X70 adalah peneraju segmen SUV yang sebelumnya dipegang oleh Honda CR-V.

Di pasaran tempatan terdapat banyak tawaran SUV yang tersedia untuk dipilih pelanggan, di antaranya ialah Ford Kuga, sebuah jenama Amerika Syarikat.

Berdasarkan jumlah yang boleh dilihat di atas jalan raya nampaknya Kuga tidak menerima sambutan hangat berbanding SUV lain.

Sambutan tersebut terbalik untuk pasaran Eropah. Kuga adalah SUV Ford terlaris di Eropah dan ketiga terbaik dari segi jualan selepas Fiesta dan Focus.

Pada tahun 2018 sebanyak 153,800 unit Kuga menjadi pilihan pelanggan yang menyumbang kepada peningkatan jualan SUV Ford lebih daripada 19 peratus.

Setelah pertama kali diperkenalkan pada tahun 2012, Ford melancarkan Kuga baharu pada 2 April 2019.

Berdasarkan rupa luaran, Kuga 2019 tampil dengan konsep sederhana dan mirip kepada Focus baharu.

Walaupun dengan reka bentuk sederhana, Ford menampilkan Kuga dalam pelbagai varian seperti Kuga Titanium, Kuga ST-Line dan Kuga Vignale.

Juga canggih apabila terdapat sejumlah Kuga dengan nadi kuasa elektrifikasi seperti Kuga Plug-In Hybrid, Kuga EcoBlue Hybrid (mild-hybrid) dan Kuga Hybrid.

Berikut ialah ciri-ciri utama pada Ford Kuga 2019:

  • Kuga Plug-In Hybrid – Digerakkan oleh enjin 2.5 liter dengan gabungan motor elektrik, penjana dan bateri lithium-ion 14.4 kWh.
  • Gabungan kuasa ialah 225 ps dengan pemanduan elektrik sejauh 49.8 km
  • Kuga EcoBlue Hybrid –  Menggunakan enjin 2.0 liter diesel EcoBlue berkuasa 150 ps.  Nadi kuasa mild-hybrid ini menggunakan penjana atau penghidup BISG (belt-driven integrated starter/generator) dan bateri lithium-ion 48 volt

  • Kuga Hybrid – Menggunakan enjin 2.5 liter dengan gabungan motor elektrik, penjana, bateri lithium-ion dan transmisi automatik pengasingan kuasa.
  • Kuga EcoBlue – Menggunakan enjin 2.0 liter EcoBlue diesel berkuasa 190 ps dengan jangkaan penggunaan minyak 5.7 l/100 km. Satu lagi enjin ialah 1.5 liter EcoBlue berkuasa 120 ps dengan jangkaan penggunaan minyak 4.8 l/100 km.
  • Kuga EcoBoost – Menggunakan enjin 1.5 liter 3 silinder EcoBoost dengan dua pilihan kuasa iaitu 120 ps dan 150 ps. Menggunakan teknologi nyah aktif silinder yang boleh berfungsi dalam masa 14 milisaat. Jangkaan penggunaan minyak ialah 6.5 l/100 km

Berdasarkan tawaran ini apa yang benar-benar menarik ialah teknologi mesra alam dan dilihat sepadan dengan permintaan dan minat pelanggan di Eropah.

Bagaimana dengan negara ASEAN? Masih terlalu awal hendak dibuat ramalan dan kesimpulan.

Namun kami optimis dengan Kuga 2019 asalkan cara pemasaran dan posisinya betul. Ford telah berjaya membuktikan melalui Fiesta dan semestinya dengan Ranger yang laku keras.

Google ads
Back to top button