YAMAHA PATENKAN ENJIN TURBO PADA MODEL SIRI MT
Beberapa hari lepas terdedah imej yang dikatakan paten Yamaha untuk enjin baru mereka. Bukan enjin sebarangan, sebaliknya rangkaian yang telah dilengkapi induksi pendesak turbo.
Seperti yang dilihat pada lakaran di atas, kelihatannya ia menggunakan kerangka MT-09. Kelihatan pada corong keluaran ekstraktor ekzos ialah dimensi pembuatan unit turbin yang bertindak mengepam masuk udara untuk menghasilkan induksi kuasa tambahan pada enjin sedia ada.
Sistem induksi pendesak seperti turbo dan supercharger bukanlah perkara baru dalam industri motosikal. Ia telah bermula sejak 60 tahun yang lalu namun kawalan emisi yang ketat menyukarkan pengeluar menepati piawaian pencemaran.
Enjin turbo, selain menghasilkan gas tercemar yang sukar dikawal, ia juga tidak ekonomikal, melainkan penambahan converter yang mahal di samping penggunaan material yang di luar kos jualan.
Bagaimanapun dengan perkembangan teknologi yang semakin maju, jurutera telah berjaya menemui kaedah yang sesuai. Apa lagi dengan penggunaan komputer dan sistem suntikan bahanapi yang canggih dapat menghasilkan pembakaran lebih cekap. Contoh terbaik dalam industri hari ini ialah Kawasaki H2.
Namun ada sedikit keanehan dari foto yang diperolehi ini. Dari sisi ia kelihatan seperti MT-09 namun keratan rentas hadapan hanya ada dua selinder – bermaksud MT-07.
Apapun, ia mungkin lakaran awal sebagai rujukan. Secara teorinya, enjin dua selinder MT-07 lebih mudah diintegrasikan dengan turbo berbanding tiga selinder crossplane MT-09.